GAYA baharu CX-5 2024.
GAYA baharu CX-5 2024.
Lizam Ridzuan


TAMPIL ciri rekaan Kodo:Soul of Motion yang banyak memenangi anugerah, Mazda CX-5 antara kenderaan utiliti sukan (SUV) yang memiliki rekaan menarik.

Model baharu (facelift) 2024 yang dilancarkan baru-baru ini menambah gaya dan ciri estetika serta tampil lebih sporty buat peminat jenama Jepun itu.

Vroom berpeluang memandu uji varian 2.5 G 2WD High, salah satu daripada lima yang ditawarkan di pasaran negara ini.

Untuk rekaan luaran, model ini masih kekal dengan rekaan yang sama cuma diberi sentuhan rekaan lampu hadapan dan perumah lampu belakang LED signatur serta rekaan gril baharu.

Ia juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci baharu selain beberapa kemasan lain yang ditambahbaik bagi menambah gaya untuk model ini.

Model ini juga dengan ruang kabin yang elegan dan untuk varian ini ia didatangkan dengan sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto bebas wayar.

Ia juga dengan enam pembesar suara, empat port pengecas USB, satu pengecas tanpa wayar dan kamera 360 darjah.

Untuk pemandu ia dilengkapi dengan meter LCD analog dan digital bersaiz 7 inci dengan paparan pelbagai maklumat perjalanan.

Tempat duduk balutan kulit dengan pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan elektrik 10 ketetapan (6 untuk penumpang) serta fungsi penyejuk.

Ia bukan sahaja selesa malah mudah untuk melaras tempat duduk dengan fungsi memori 2 ketetapan dan Mazda CX-5 ini juga dengan pendingin hawa dwi-zon bagi keselesaan semua penumpang.

LAMPU belakang LED rekaan signatur.
LAMPU belakang LED rekaan signatur.

Roda stereng juga dengan pelbagai fungsi termasuk gear tangan untuk sentuhan gaya pemanduan prestasi yang didatangkan dengan dua mod pemanduan Normal dan Sport.

Untuk pemanduan ia didatangkan enjin petrol 2,488 cc, DOHC, 4 silinder, 12 injap Skyactiv-G Naturally Aspirated (NA) yang menawarkan kuasa 192 kuasa kuda (HP) pada 6,000 rpm dan 258Nm tork pada 4,000 rpm.

Menerusi kotak gear Skyactiv Drive 6 kelajuan automatik dengan mod manual ternyata ia bukan sahaja lancar dan berprestasi malah menawarkan penggunaan bahan api yang efisien.

Penulis memandunya dalam pelbagai suasana termasuk dalam bandar dan lebuh raya dan pengendalian juga stabil pada pelbagai kelajuan dan selesa dengan suspensi hadapan MacPherson Struts dan belakang Multi-Link.

Ruang kargo luas termasuk kerusi belakang boleh dijatuhkan antara ciri praktikal untuk SUV, serta pencahayaan dalaman LED lebih cerah dan pada pintu kargo dipasang lampu dengan sudut ke bawah menerangi pada malam hari atau cuaca gelap lebih baik pada bahagian itu.

Secara keseluruhannya, CX-5 2024 ini selepas ciri sentuhan gaya rekaan lampu baharu menjadikannya tampil lebih elegan dan penulis berasakan ia masih kekal prestasi enjin yang sama dengan gaya lebih menarik.

Ciri keselamatan terbaik dengan 6 beg keselamatan SRS, kamera undur, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Permulaaan Bukit (HLA), Walk Away Lock dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

RUANG kabin elegan.
RUANG kabin elegan.

Ia juga dengan ciri Teknologi Keselamatan Termaju i Activesense dengan Sokongan Brek Pintar(SBS), Kawalan Pelayaran Radar Mazda (MRCC) dengan Stop & Go, Sokongan Trafik dan Pelayaran (CTS), Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan Sokongan Brek Pintar (SBS).

Untuk satu tangki penuh 58 liter ia mampu mencapai sehingga 600 kilometer (km) dan bergantung kepada corak dan gaya pemanduan dan penulis mencatatkan sekitar 10.3 liter untuk setiap km.

Untuk varian pertengahan CX-5 2.5G High 2WD ini dijual pada harga RM177,370. Empat lagi varian lagi dijual pada harga bermula RM146,879 hingga RM191,170.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:30 AM