RUHAINIES ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka FiziWoo. FOTO Hazreen Mohamad 
RUHAINIES ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka FiziWoo. FOTO Hazreen Mohamad 
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon sensasi, Ruhainies mendakwa dia sudah tidak lagi berhubung dengan Aliff Aziz susulan kontroversi yang mengaitkan nama mereka selama hampir dua bulan kisah mereka hangat diperkatakan. 

Ruhainies berkata, dia sudah tidak mahu mengeruhkan kontroversi yang berlaku dan hanya mahu fokus kepada kerjaya seninya sekarang.

"Saya sudah tidak lagi berhubung dengan Aliff. Buat apa nak keruhkan lagi. Saya nak tutup buku.

"Saya pun dah minta maaf. Rasanya semua pihak boleh 'move on'. Tiada keperluan untuk saya hubungi dia lagi. Jadi fokus saya sekarang adalah karier. Saya tak mahu memanjangkan isu ini,

"Saya tak mahu isu ini jadi lebih panjang. Bila ada kenyataan baharu, takut tiada penghujung. Semua orang termasuk netizen dah penat sebab isu ini sudah semakin melarat hampir dua bulan," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka FiziWoo, di sini,  hari ini.

Dalam pada itu, Ruhainies percaya isteri kepada Aliff iaitu Bella Astillah sudah maklum mengenai permohonan maafnya yang dibuat secara  terbuka menerusi program hiburan Melodi.

"Saya pun dah minta maaf. Rasanya semua pihak boleh 'move on'. Tiada keperluan untuk saya hubungi dia lagi," katanya. 

Ditanya mengenai dakwaan dia berkomplot dengan Aliff untuk menjatuhkan isteri Aliff iaitu Bella Astillah, Ruhainies enggan mengulas pandangan orang luar mengenai perkara itu. 

"Itu adalah pendapat siapa? Bukan saya. Saya tak boleh nak cakap lebih. Kalau saya menidakkan, orang cakap memang saya buat.

"Benda itu di luar kawalan saya. Saya tak mahu tegakkan apa-apa lagi," katanya.

Krisis Aliff dan Ruhainies mula menjadi perbualan ramai apabila mereka ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.

Bella kemudiannya membuat keputusan untuk memfailkan cerai terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Mac lalu.

Tidak lama selepas itu, muncul pula seorang wanita Singapura, Sarah Yasmine yang mengaku menjalin hubungan cinta dengan Aliff sejak Januari lalu.

Keadaan menjadi bertambah kecoh apabila Sarah dilihat menyebarkan segala perbualan WhatsApp antara Aliff dan Ruhainies yang mendakwa mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 9:23 PM