HM Digital

'NUOVA Dolce Vita' atau 'gaya hidup baharu yang indah' adalah konsep yang diketengahkan untuk model mewah Ferrari Roma.

Ciri Grand Tourer (GT) kontemporari, namun lebih mesra untuk kegunaan aktiviti gaya hidup menjadikan Ferrari Roma pilihan ideal golongan atasan.

Vroom berpeluang memandu uji Ferrari Roma baru-baru ini. Untuk rekod, Ferrari Roma diperkenalkan ke pasaran tempatan pada pertengahan 2020.

Melihat kepada rekaan luaran, ia kekal dengan DNA jenama Ferrari yang diinspirasikan daripada model ikonik 250 GT Berlinetta dan 350 GT 2+2.

Tampil dengan garisan yang kemas berkarakter sporty, rekaannya elegan dengan konsep 2+ 'fastback coupe' dengan elemen retro pada bahagian gril hadapan.

Logo Scuderia Ferrari pula 'gah' di sisi. Ia juga dilengkapi dua lampu utama LED manakala lampu nyalaan siang (DRL) yang berkedudukan melintang dilihat seakan-akan model Monza SPs.

Bahagian belakangnya pula, terdapat spoiler yang bersepadu dengan cermin. Kenderaan ini juga didatangkan dengan rim aloi bersaiz 20 inci yang menampakkan ciri sporty serta prestasi.

Menjengah ke ruang kabin, ia memang menyerlahkan gaya elegan Roma seakan-akan dua bahagian dengan ruang tersendiri, masing-masing untuk pemandu dan penumpang.

Konsep dwikokpit yang turut diperkenalkan pada model Ferrari lain memberikan gaya unik untuk penumpang, mereka seakan-akan menjadi 'co-pilot' kenderaan ini.

Penulis dapat berasakan kabin Roma ini tampil lebih selesa. Ia seakan-akan memandu kenderaan harian, namun dengan sentuhan premium dan mewah.

Sesuai dengan konsep 2+, bahagian belakang sememangnya tidak sesuai untuk memuatkan penumpang dewasa, tetapi sekadar untuk meletak beg tangan atau barangan kecil.

Konsol tengah pula penuh gaya ikonik model vintaj dengan pelapik 'metal' pada pintu tuil gear yang memudahkan capaian pemandu.

GAYA Roma serlah status.
GAYA Roma serlah status.

ELEMEN prestasi dengan spoiler aktif pada cermin.
ELEMEN prestasi dengan spoiler aktif pada cermin.

Sistem Antaramuka mesin manusia (HMI) yang direka semula dengan roda stereng menyerlahkan falsafah 'eyes on the road, hands on the wheel'.

Bentuk 'flat-bottom' gaya perlumbaan dengan pelbagai butang fungsi memudahkan larasan tanpa perlu tangan bergerak ke papan pemuka.

Ini kerana hampir kesemuanya terdapat di sana, termasuk butang penghidup enjin dan suis lampu membelok.

Kluster meter bersaiz 16 inci HD melengkung mudah untuk dilihat pemandu selain ia boleh dilaras menerusi butang pada roda stereng.

Ia juga dipadankan dengan Sistem infotainmen bersaiz 8.4 inci berdefinisi tinggi (HD) menegak yang terletak di antara dua kokpit dengan ciri navigasi.

Kenderaan ini dikuasakan enjin 3,855cc V8 Pengecas Turbo yang menghasilkan lonjakan kuasa 620PS pada 5,750 hingga 7,500rpm dan tork 760Nm pada 3,000 hingga 5,750rpm.

Enjin yang dipasang pada model ini turut dicalonkan sebagai Enjin Terbaik empat tahun berturut-turut daripada keluarga V8 Turbo Ferrari.

Menerusi transmisi dwiklac lapan kelajuan F1 kompak, ia mampu mencapai kelajuan sehingga 320 kilometer/sejam (km/j), namun penulis tidaklah mencubanya ke tahap itu cuma pada kelajuan yang berpatutan.

Kotak gear itu pertama kali diperkenalkan pada model SF90 Stradale, namun dengan talaan berbeza kerana SF90 adalah model hibrid.

Mencubanya pada kelajuan tinggi, enjin akan menurut, pedal yang ditekan terasa ringan ketika pecutan.

Lima mod pemanduan ditawarkan iaitu wet, comfort, sport, race dan ESC-off.

Seperti pengecas turbo Ferrari, dalam rangkaian enjin ini, ia menawarkan respons pendikit yang pantas sebaik penulis menekan pedal minyak hasil rekaan 'flat-plane crankshaft'.

Pada kelajuan tinggi, penulis dapat merasakan keyakinan itu sentiasa ada. Tambahan pula, terdapat Kawalan Gelincirian Sisi 6.0 untuk pengendalian lebih baik.

KONSEP 2+.
KONSEP 2+.

 ENJIN 3.9 liter V8.
ENJIN 3.9 liter V8.

PAPARAN maklumat bersaiz 8.4 inci.
PAPARAN maklumat bersaiz 8.4 inci.

Ferrari Roma adalah yang pertama daripada model Ferrari GT yang menerima teknologi ini yang menggabungkan algoritma yang memberikan anggaran tepat bagi gelinciran sisi ke sistem kawalan on-board.

Ia juga datang dengan casis teknologi rekaan baharu yang mengurangkan berat. Pada masa sama, 70 peratus komponen pada kenderaan ini juga baharu.

Ciri enjin tengah hadapan juga menawarkan nisbah tukaran berat ke kuasa yang terbaik dalam segmennya.

Selain itu, ia juga datang dengan kawalan ciri keselamatan termaju seperti Kawalan Pelayaran Adaptif, Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Pelepasan Lorong dan Pengenalan Tanda Trafik.

Selain itu, ia termasuk Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) serta Ferrari Dynamic Enhancer (FDE) E-Diff3.

Malah pada kelajuan melebihi 250km/j, 'downforce' Ferrari Roma menjana berat 95 kilogram (kg) dan spoiler belakang akan berfungsi pada tiga ketetapan bergantung kepada kelajuan iaitu Low Drag, Medium Downforce dan High Downforce.

Secara keseluruhan, Ferrari Roma menawarkan prestij dalam kelasnya buat yang mahukan sebuah kenderaan bagi menyerlahkan status.

Selain sesuai sebagai kegunaan harian, ia juga boleh 'dibelasah' di atas litar melalui mod pemanduan yang tersedia.

Kabin dalaman selesa dengan enjin V8 Turbo cukup padan untuk kepuasan pemanduan.

Untuk pasaran Malaysia, Ferrari Roma dijual pada harga RM968,000 (atas jalan tanpa insurans sebelum cukai dan pilihan binaan khas (custom).

SPESIFIKASI

  • Ferrari Roma

  • Enjin: 3,855cc, dwiturbo, 90 degree V8, DOHC

  • Kuasa maksimum: 620PS pada 5,750 hingga 7,500rpm

  • Tork maksimum: 760Nm pada 3,000 hingga 5,750rpm

  • Transmisi: Dwi-Klac 8-kelajuan F1

  • Kapasiti tangki petrol: 80 liter

  • Kelajuan maksimum: 320km/j

  • Ciri keselamatan: Kawalan Pelayaran Adaptif, Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Pelepasan Lorong, Pengenalan Tanda Trafik, Amaran Trafik Melintas Belakang dengan Pengesan Titik Buta dan Kamera Paparan Sekeliling, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Sistem Cengkaman-F1 (F1-TCS), Stereng Kuasa Elektrik (EPS), Kawalan Dinamik Kenderaan ( VDC), Ferrari Dynamic Enhancer (FDE) E-Diff3, magnetorheological, twin-solenoid suspension (SCM-E Frs).

  • Harga: RM968,000 (atas jalan tanpa insurans sebelum cukai dan binaan khas.
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:53 AM