Lizam Ridzuan

SELEPAS pengenalan model SF90 Stradale sebagai model pertama kenderaan 'plug-in hibrid' (PHEV) untuk jenama Ferrari pada suku ketiga tahun lalu, kini ditawarkan pula versi 'retractable hard top' (RHT).

Dilancarkan ke pasaran tempatan baru-baru ini, Ferrari SF90 Spider dengan ciri bumbung boleh dibuka (convertible) adalah penawaran terbaharu Naza Italia sebagai pengedar eksklusif kenderaan mewah Ferrari di Malaysia.

Ia menjadikan model ini bukan saja sebagai model teratas buat jenama Ferrari yang ditawarkan untuk pasaran (bukan daripada edisi terhad) malah kekal sebagai terpantas yang pernah dihasilkan oleh jenama 'supercar' Itali ini.

Untuk luaran, ia mengekalkan asas rekaan yang sama dengan model SF90 Stradale cuma ia dibezakan dengan ciri RHT.

Ciri lainnya ialah bonet pendek, kabin kompak dan but yang panjang dengan material gabungan gentian karbon untuk kekukuhan. Ia turut menjadikan keseluruhan berat lebih ideal.

VERSI ‘convertible’ prestasi.
VERSI ‘convertible’ prestasi.

Bumbungnya boleh dibuka dan ditutup dalam tempoh 14 saat pada kelajuan kenderaan 45 kilometer/sejam (km/j).

Ia yang hanya mengambil ruang but 100 liter berbanding dengan sistem terdahulu yang perlu mengorbankan ruang 150 hingga 200 liter.

Penggunaan material aluminium juga menjadikan ia 40 kilogram (kg) lebih ringan berbanding ciri konvensional.

Malah untuk mengurangkan bunyi bising dan mengekalkan keselesaan kabin ketika bumbung dibuka, terdapat tingkap belakang elektrik bagi tujuan itu.

Ia bagi mengalirkan angin dari arah hadapan terus ke bahagian belakang dan mengekalkan ciri aerodinamik yang sama.

Lampu utama LED matrix hadir dalam bentuk C yang disepadukan dengan fungsi kemasukan udara untuk penyejukan bahagian brek serta kawalan pancaran lampu tinggi aktif bagi pencahayaan dalam semua cuaca.

Terdapat tiga corong kemasukan udara pada model ini iaitu pada gril bampar hadapan untuk penyejukan motor elektrik dan dua lagi pada bahagian tiang-B sisi, khusus untuk bahagian enjin.

BAHAGIAN belakang gaya futuristik.
BAHAGIAN belakang gaya futuristik.

Pada bahagian belakang, dwi ekzos terletak pada kedudukan tinggi daripada material titanium dan spoiler aktif.

Ia menyerlahkan ciri prestasi gaya F1 serta elemen futuristik model ini.

Padanan supercar sebegini juga dimantapkan dengan rim bersaiz 20 inci yang bukan sekadar pelengkap astetika.

Ia turut berfungsi sebagai bilah pemutar untuk aliran udara lebih cekap mengeluarkan angin daripada lengkungan roda terus ke bahagian sisi kenderaan.

Meskipun RHT, ia diadun dengan kemasan rekaan yang baik serta pintar. Sekali pandang, memang tidak kelihatan bahagian yang boleh dibuka itu.

Bumbung juga lebih rendah 20 milimeter (mm) dengan tiang-A lebih tirus dan cermin hadapan menjadi lebih luas.

Tampil unik, enjin model SF90 Spider ini boleh dilihat menerusi kaca pada but sama ada bumbung dibuka atau tidak.

RODA stereng prestasi dengan kokpit HMI.
RODA stereng prestasi dengan kokpit HMI.

Ia menjadikan keseluruhan rekaan seakan bergabung terutama pada tiang-B gaya coupe kekal sebagai elemen signatur untuk model-model versi spider daripada Ferrari.

Untuk ruang dalaman, ia diadun dengan gabungan material gentian karbon dan logam, Human Machine Interface (HMI) dominasi digital instrumen dengan ciri minimalis dan kemasan berkualiti tinggi.

Sebaik memasuki kabin, sebelum enjin dihidupkan, suasana dalaman hanya berwarna hitam dan sebaik dihidupkan, pencahayaan umpama mengucapkan 'selamat datang' dengan cahaya digital pada kokpit menyerlahkan suasana.

SF90 Spider dilengkapi sistem multimedia bersaiz 16 inci definisi tinggi (HD) yang melengkung ke arah pemandu bagi kemudahan melihat ke arahnya sepanjang perjalanan.

Skrin selain paparan rpm dengan indikasi pengecasan bateri, juga dengan kawalan audio dan navigasi.

Selain itu, paparan meter 'head-up display' dengan pelbagai maklumat pada cermin hadapan bahagian pemandu mengurangkan gangguan.

Ia sama dengan konsep 'eyes on the road, hands on the wheel'. Ia juga adalah falsafah digunakan oleh pasukan Ferrari dalam perlumbaan F1.

Roda stereng juga diadaptasi daripada elemen prestasi sukan permotoran dengan butang sentuhan membolehkan pemandu melaras sehingga 80 peratus fungsi dalam kenderaan tanpa perlu mengangkat tangan daripadanya.

Pada konsol tengah, dengan ciri kotak gear manual dengan penginjak gear digital, ia memberikan kelebihan untuk jentera bertransmisi automatik ini.

 KERUSI ‘bucket’ gentian karbon ergonomik.
KERUSI ‘bucket’ gentian karbon ergonomik.

Kerusi 'sports bucket' gentian karbon yang ergonomik menjadikan keseluruhan kabin umpama berada di dalam 'kapal angkasa', ia juga adalah konsep keseluruhan kenderaan ini.

Semua elemen unik ini digabungkan dengan trenkuasa menakjubkan menerusi sistem PHEV dan enjin pembakaran bahan api (ICE) petrol yang bersepadu dengan tiga motor elektrik.

Dijana enjin 3,990cc, V8 pengecas turbo berkembar, ia menghemburkan 1,000 kuasa kuda (hp).

Kuasa 220hp daripada motor elektrik dan 780hp pada 7,500 rpm daripada ICE, juga melebihi 60hp untuk mana-mana model enjin V8 Ferrari sebelum ini.

Ia turut didatangkan dengan daya tujahan tork 800Nm pada 6,000rpm.

Sistem motor elektrik pula datang dengan E-diff dan fungsi Cornering Angle Regulator.

Electric (RAC-e) electric pada gandar hadapan dengan dua elektrik motor bebas pula berfungsi sebagai penggerak elektrik penuh.

Sebuah lagi motor iaitu MGUK dihasilkan daripada inovasi teknologi F1. Ia terletak pada bahagian belakang di antara enjin dan kotak gear dengan bateri bervoltan tinggi turut berfungsi sebagai sistem kawalan motor elektrik (inverter).

ENJIN 3.9 liter pengecas-turbo berkembar.
ENJIN 3.9 liter pengecas-turbo berkembar.

Janaan tambahan 162kW pada motor elektrik juga membolehkan ia memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.5 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 340 km/j.

Untuk kelancaran, ia turut dilengkapi kotak gear F1, lapan kelajuan transmisi dwiklac (DCT). Ia sama seperti yang diperkenalkan pada model SF90 Stradale.

Kelebihannya, saiz diameter 20 peratus lebih kecil, tukaran gear lebih pantas daripada kotak gear tujuh kelajuan DCT selain 10kg lebih ringan.

Melalui pemanduan dinamik dan Kawalan Sudut Gelinciran Sisi (eSSC), ia menggabungkan tiga elemen iaitu Kawalan Cengkaman Elektronik (eTC), Torque Vectoring dan kawalan 'brake-by-wire' dengan ABS/EBD.

CIRI PHEV dengan pengecas elektrik.
CIRI PHEV dengan pengecas elektrik.

Sistem hibrid juga mengalirkan kuasa melalui mod elektrik (pacuan roda hadapan (FWD), mod Hibrid dengan ICE dan MGUK (pacuan roda belakang RWD) dan mod hibrid 4WD, bergantung kepada keperluan gandar hadapan untuk keluar selekoh.

Ia juga menjana dan mengekalkan kuasa elektrik melalui daya membrek.

Menerusi satu pengecasan penuh bateri dengan kapasiti 7.9 kWh, kenderaan ini mampu bergerak sejauh 25km.

SF90 Spider ini juga didatangkan dengan e-Manettino empat mod pemanduan iaitu eDrive, Hibrid, Performance dan Qualify bagi disesuaikan dengan gaya pemanduan pemiliknya.

Secara keseluruhan, model ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan oleh jenama Ferrari dimuatkan untuk penghasilan SF90 Spider.

KONSOL tengah dengan ruang meletak kunci.
KONSOL tengah dengan ruang meletak kunci.

Selain ciri prestasi, ia juga penuh dengan elemen aerodinamik dan tekanan rendah (downforce) terbaik dengan ciri Generator Vortex untuk aliran udara.

Versi bumbung boleh dibuka bukan sahaja menyerlahkan status dan gaya tersendiri malah memberi kepuasan tersendiri ketika memandunya.

Sistem keselamatan pula datang dengan antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan, Pengagihan Brek Elektronik (EBD) serta empat beg keselamatan.

Untuk pasaran Malaysia, Ferrari SF90 Spider dijual pada harga RM2.08 juta (atas jalan tanpa insurans.)

Ia juga didatangkan dengan program penyelenggaraan percuma tujuh tahun.

Tempahan kini dibuka dan mengambil masa sekitar 12 hingga 18 bulan untuk pelanggan menerima model yang dipasang di Maranello, Itali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 6:15 AM