AKIO (enam dari kanan) dan Ravindran (enam dari kiri) bergambar bersama selebriti yang mengambil bahagian dalam Festival TGR. FOTO Aizuddin Saad
AKIO (enam dari kanan) dan Ravindran (enam dari kiri) bergambar bersama selebriti yang mengambil bahagian dalam Festival TGR. FOTO Aizuddin Saad
Lizam Ridzuan


UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan pelancaran musim ketiga Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) pada September hadapan.

Presidennya, Ravindran K berkata, antara tarikan utama festival itu ialah perlumbaan One-Make-Race Vios Challenge yang mengekalkan tiga kategori iaitu Promotional untuk selebriti, Sporting untuk pelumba amatur dan Super Sporting untuk pelumba profesional.

“Semua kategori kelas perlumbaan menggunakan jentera Toyota Vios Serba Baharu di empat lokasi terpilih yang bakal mengumpulkan peminat sukan permotoran. Orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat teknologi perlumbaan daripada Toyota,” katanya pada majlis pelancaran di Subang Jaya, hari ini.

Selain di litar, TGR juga menyediakan perlumbaan E-Sports Gazoo Racing Velocity yang berjaya menarik 400 penyertaan pada musim lalu, serta elemen baharu diperkenalkan melalui Gazoo Racing Outlet dengan pameran barisan model perlumbaan lagenda Toyota termasuk Gazoo Racing Supra yang menjengah pasaran pada September.

Musim ini bakal menampilkan dua selebriti baru iaitu pelakon, Ain Edruce dan Syafiq Kyle selain mengekalkan Shukri Yahaya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick dan penyandang juara Diana Danielle serta Timbalan Presiden UMWT Akio Takeyama.

Pada musim kedua Festival TGR, ia berjaya menarik lebih 150,000 peminat serta lebih sejuta tontonan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:31 PM