RUANG pameran Toyota dipenuhi pengunjung.
RUANG pameran Toyota dipenuhi pengunjung.
PEMENANG kategori Promotional.
PEMENANG kategori Promotional.
TIGA kategori perlumbaan menggunakan kereta Vios.
TIGA kategori perlumbaan menggunakan kereta Vios.
Lizam Ridzuan

Kemeriahan pusingan kedua Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) diteruskan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Sepanjang dua hari berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan tetapi tumpuan utama sudah pasti perlumbaan Vios Challenge membabitkan tiga kategori iaitu Sporting, Promotional dan Super Sporting.

Seramai 40 pelumba menggunakan jentera Toyota Vios 1.5J beraksi di litar sepanjang 1.9 kilometer (km) dengan 17 selekoh mencabar kemahiran dan keseronokan kepada pengunjung.

Kategori Super Sporting paling ditunggu peminat dengan penyertaan pemandu profesional ternama tempatan Tengku Djan Tengku Mahalel, Keifli Othman, Syafiq Ali dan Mark Darwin.

Sejak permulaan Perlumbaan 1, Darwin mengekalkan kedudukan pendahulu sebelum kenderaannya bergesel dengan jentera dipandu Tengku Djan lalu merempuh dinding dan terkeluar daripada saingan. Situasi serupa turut menimpa pelumba Team Mudah Racing, Akina Teo.

Perlumbaan 2 yang diadakan selepas hujan lebat lebih dramatik dengan saingan sengit Darwin, Mitchell Cheah dan Tengku Djan yang berada pada kedudukan utama. Nasib tidak menyebelahi Mitchell apabila jenteranya berpusing selepas bergesel dengan jentera Tengku Djan.

Bagaimanapun, Tengku Djan gagal menamatkan perlumbaan selepas kenderaannya mengalami kerosakan.

Keadaan itu membolehkan Willian Ho mendahului, diikuti Mitchell Cheah dan Ser Meng Hui untuk kedudukan podium.

Namun, jentera Mitchell tersasar ke kanan litar sebelum dipintas pelumba MMCS Sport, Meng Hui yang mengambil kesempatan merebut tempat pertama hingga ke akhir perlumbaan.

Bagi kategori Promotional pula, jangkaan laluan mudah buat pendahulu, Shawn Lee tidak berakhir seperti diharapkan. Kesilapan memasuki selekoh keenam ketika Perlumbaan 2 menyaksikan keretanya berpusing.

Keadaan itu memberi peluang kepada Shukri untuk melebarkan jarak dan diikuti rapat Danny Khoo.

Pelumba wanita, Diana Danielle tidak melepaskan peluang memberikan saingan terbaiknya sebelum berjaya meraih kedudukan ketiga, pemandu wanita pertama yang berjaya menaiki podium Vios Challenge.

Kategori Sporting yang menampilkan barisan pemandu baru dalam perlumbaan kereta tetap menyajikan saingan hebat terutama pelumba pasukan Dream Chaser, Brendan Paul Anthony yang julung kali menyertai acara ini.

Selain aksi di litar, penonton disajikan dengan pertunjukan drift oleh juara dunia dari Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino menggunakan jentera Toyota 86. Antara aktivti menarik lain ialah perarakan kelab pemilik kenderaan Toyota merangkumi Vios, Avanza, AE86 dan Hilux.

Pentas utama pula menyediakan persembahan selebriti Media Prima Bhd (MPB) dan ruang pameran Toyota dengan model terkini seperti Toyota C-HR selain sesi pandu uji.

Pusingan pertama Festival TGR berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, Ogos lalu dan pusingan ketiga akan diteruskan di Iskandar Malaysia, Johor pada 19 dan 20 Januari tahun hadapan.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini mengenai Festival TGR, orang ramai boleh melayarian laman sesawang Toyota Gazoo Racing dan UMW Toyota (UMWT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:24 PM