PERLUMBAAN jalanan sekitar stadium.
PERLUMBAAN jalanan sekitar stadium.
BARISAN pelumba Vios Challenge musim ke-3
BARISAN pelumba Vios Challenge musim ke-3
Lizam Ridzuan


FESTIVAL Toyota Gazoo Racing (TGR) pusingan ke-3 musim ketiga yang diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi tumpuan warga utara, baru-baru ini.

Lebih 15,000 pengunjung menghadiri acara selama dua hari itu dengan acara utama ‘Vios Challenge’ meneruskan cabaran dalam kategori Super Sporting, Sporting dan Promotional.

Perlumbaan konsep jalanan diteruskan dengan saingan pemandu profesional kategori Super Sporting dengan Freddie Ang daripada pasukan Telegamas Toyota memenangi Race 2 pada hari kedua, mendahului William Ho dan penyandang juara, Boy Wong.

Pemenang Race 1 pada hari pertama, Tengku Djan Ley daripada 23 Motors pula tidak dapat meneruskan kecemerlangan pada hari kedua apabila terbabas melanggar konkrit halangan dan terlepas persaingan tempat pertama.

Untuk kategori Sporting pula, dengan aksi tersendiri persaingan Race 2 menyaksikan empat daripada 16 jentera perlumbaan tidak dapat meneruskan perlumbaan selepas terbabit perlanggaran.

AKIO dan Ravindran melepaskan perlumbaan.
AKIO dan Ravindran melepaskan perlumbaan.

Pemandu pasukan S&D Tama Motorsport Tom Goh mendahului perlumbaan daripada awal sebelum dipintas pada dua pusingan akhir oleh Bradley Benedict dan Haji Sutan berada di tempat ketiga.

Bagi kategori Promotional, ia membabitkan selebriti tempatan melalui persaingan rapat di antara Shukri Yahaya, Nabil Ahmad dan Shawn Lee yang bertukar kedudukan podium pada Race 1 dan 2 kali ini.

Janna Nick juga memperlihatkan pemanduan hebat dengan kedudukan petak utama dan mendahului dua pusingan awal perlumbaan Race 2 sebelum dipintas oleh Shukri Yahaya.

Shawn Lee yang terus mengejar Shukri perlu memintas Janna lalu kedua kenderaan bergesel membuatkan jentera Janna berpusing sebelum dilanggar Syafiq Kyle yang tidak sempat mengelak.

PERSEMBAHAN drift daripada Jepun.
PERSEMBAHAN drift daripada Jepun.

Pelbagai aksi di dalam ketiga-tiga kategori Vios Challenge itu menambah kehangatan suasana TGR Festival yang turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan.

Hadir sama ialah Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Ravindran K dan timbalannya, Akio Takeyama.

Turut dipamerkan ialah kereta GR Supra bagi perlumbaan Super GT sempena dengan Kejuaraan Super GT pusingan Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bulan Julai nanti.

Tarikan lain yang turut disediakan ialah pameran model Toyota KE-10 1968 yang dibaik pulih sepenuhnya, pameran kereta retro oleh Art of Speed serta pameran motosikal dan cenderahati Harley-Davidson, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi.

Aksi drift daripada pemandu profesional Jepun, sesi Super Fans Signing dan baucar servis RM200 buat yang menempah model Toyota sepanjang dua hari itu juga antara program dan tawaran yang menarik untuk peminat dan pengunjung.

Ia adalah perlumbaan terakhir yang dipertandingkan di litar jalanan sebelum acara kemuncak berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada April hadapan.

Dua perlumbaan pertama Musim ke-3 sudah dilangsungkan di litar jalanan Kuala Terengganu dan Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.

SAMBUTAN peminat meriah.
SAMBUTAN peminat meriah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:30 AM