Lizam Ridzuan


Sepang: Menerusi tema 'Awaken the Beasts', UMW Toyota Motor (UMWT) dan GAZOO Racing Malaysia melancarkan lima model GAZOO Racing baharu terdiri daripada tiga varian GR dan dua GR Sport.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata ia terdiri daripada model GR Supra baharu, GR Corolla, GR86, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport.

"Pengenalan model GR dan GR Sport istimewa ini adalah aspirasi Toyota untuk membina kereta yang lebih baik dan direka bentuk dengan DNA yang diperoleh daripada pengalaman dan pencapaian dalam sukan permotoran global,"

"Kami berbangga kerana dapat terus meluaskan jenama GR di Malaysia bukan sahaja segi penawaran kenderaan, tetapi rangkaian komprehensif bahagian prestasi selepas pasaran dan perkhidmatan yang tersedia melalui GR Garages dan GR Outlets eksklusif di seluruh negara," katanya ketika pelancaran.

Untuk pasran Malaysia GR Supra dijual pada harga bermula RM645,000, GR Corolla RM355,000, GR 86 RM295,000 Hilux GR RM159,880 dan Corolla Cross GR Sport RM142,000 (semua atas jalan tanpa insurans)

Selain itu dalam majlis sama turut dilancarkan Toyota Gazoo Racing (TGR) musim ke-6 meliputi tiga pusingan perlumbaan GR Vios Challenge untuk tahun 2023 dengan hadiah dan wang tunai hampir RM1 juta untuk dimenangi.

Seperti mana musim sebelumnya, perlumbaan kali ini dengan empat kategori Super Sporting, Sporting, Promotional dan Rookie.

Menampilkan gabungan pelumba baru dan lama, namun masih mengekalkan kehangatan perlumbaan yang kesemuanya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Muka baharu kelas Promotional iaitu pelakon, Syaidatul Afifah, penyampai radio Hot FM Imran Aqil. pelakon, Ezzrin Loy, personaliti televisyen Hefsy Sahad dan pelakon serta model, Reen Rahim.

Mereka bakal bersaing dengan juara keseluruhan musim lalu, Shukri Yahaya, Zizan Razak, Ahirine Ahirudin dan Ain Edruce.

Selain TGR juga diadakan perlumbaan GR Vios Sprint Cup dan GR Vios Enduro Cup/Sepang 1000km Endurance.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 12:37 AM