DARI trek ke jalan raya, pembangunan kereta lebih baik dapat dicapai dalam sukan permotoran dan cara terbaik membuktikan teknologi dan prestasi.
DARI trek ke jalan raya, pembangunan kereta lebih baik dapat dicapai dalam sukan permotoran dan cara terbaik membuktikan teknologi dan prestasi.
Lizam Ridzuan


SEJAK 66 tahun lalu, medan perlumbaan dan litar adalah asas utama Toyota dalam membangun dan menguji keupayaan jentera bagi prestasi dan ketahanan untuk kenderaan penumpang bagi kegunaan jalanan.

Sejak itu, banyak pengetahuan dan pencapaian diperoleh dalam memacu pembangunan model masa hadapan jenama ini.

Untuk lebih fokus, pada 2007 semua aktiviti prestasi dan perlumbaan Toyota dikenali sebagai GAZOO Racing (GR) dan ia adalah juga pendekatan terbaik dalam penghasilan model khas bernadikan prestasi di bawah lencana GR ini.

Di Malaysia juga tidak terkecuali dengan penganjuran acara Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) diperkenalkan pada 2017 menerusi UMW Toyota Motor (UMWT) yang kini sudah pun memasuki musim ke-6.

Toyota adalah satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang aktif menyokong dan menganjurkan acara sukan permotoran dan ia memberikan impak untuk jenama ini dengan lebih dinamik, menyerlah dan menarik.

Menerusi penganjuran TGR bukan sahaja mencambah minat ramai terhadap sukan permotoran malah ia dapat menawarkan peluang kepada lebih ramai pihak terutama rakan niaga, pengedar, pelumba muda dan selebriti berlumba secara sah dalam acara yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mencetus kepala penawaran model talaan prestasi GR seperti GR Supra, GR Yaris, GR Corolla dan GR 86 yang dilancarkan untuk pasaran tempatan baru-baru ini.

Model Vios GR Sport, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport pula disasarkan untuk pemilik yang mahukan sentuhan elemen sporty pada kenderaan harian mereka.

Kesemua penawaran ini adalah satu sistem yang lengkap termasuk menarik minat golongan muda dengan pertandingan e-sukan iaitu TGR GT Cup yang mengangkat aktiviti itu ke tahap lebih tinggi, serantau dan global.

Malah kepada pemain 'konsol' ini sekiranrya berani dan mempunyai bakat boleh cuba untuk menyertai pemilihan kategori untuk berlumba dalam kereta sebenar kelas Rookie dalam perlumbaan Vios Challenge.

Semua ini membangunkan nilai jenama Toyota dan GAZOO Racing itu sendiri yang mana pembeli kereta zaman ini bukan sekadar mahukan sebuah kenderaan tapi melengkapi elemen gaya hidup dalam kehidupan mereka.

Oleh kerana itu sebanyak 9 GR Garages diwujudkan di negara ini adalah satu-satunya pasaran di luar Jepun yang menawarkan pakej lengkap daripada model kenderaan sehingga alatan selepas pasaran, aksesori tulen dan barangan merchandise.

Menyentuh mengenai perlumbaan Festival Toyota GAZOO Racing dan Cabaran Vios menyaksikan lebih 18 juta penonton yang hadir sejak ia dianjurkan di negara ini enam tahun lalu.

Empat kategori merangkumi pelumba muda sehingga profesional bersaing dengan model Vios janaan kuasa yang standard dan hanya membezakan mereka ialah kemahiran dan semangat untuk muncul juara.

'Tempias' GAZOO Racing juga membolehkan Toyota kekal sebagai pendahulu jualan untuk kereta bukan nasional di negara ini seiring jenama Toyota juga sebagai pendahulu pasaran global.

Sukan permotoran ini bukan sekadar mengejar kelajuan malah masa yang terbaik untuk Toyota membangun dan memanfaatkan sumber tenaga baharu seperti elektrik dan hidrogen.

Terma pembuat kenderaan dunia "Race on Sunday, Sell on Monday" yang mana Toyota melihat ia dari sudut berbeza dengan elemen "Menang perlumbaan atau tidak pada Ahad, pembeli akan tetap datang ke ruang pameran pada keesokkan harinya,".

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 6:45 AM