MOHAMAD Zulkifli terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun kerana membunuh seorang lelaki, sembilan tahun lalu di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMAD Zulkifli terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun kerana membunuh seorang lelaki, sembilan tahun lalu di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang peniaga warung di Terengganu terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun kerana membunuh seorang lelaki, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli Ismail, 59, yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 27 Mei 2018.

"Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 35 tahun dari tarikh tangkap (7 Disember 2015)," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 27 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli selepas didapati bersalah membunuh pencari besi, Zulkefle Abdullah, 37, di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh pada 10.30 pagi 7 Disember 2015, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Mohamad Zulkifli kemudian merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Persekutuan pada 25 Oktober 2021 mengekalkan sabitan serta hukuman.

Terdahulu, peguam Mazlan Md Zain yang mewakili Mohamad Zulkifli berkata, fakta kes menunjukkan bahawa pemohon (Mohamad Zulkifli) adalah mangsa kerana kejadian berdekatan rumahnya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol memohon mahkamah mengekalkan hukuman kerana mangsa sudah lari tetapi dikejar oleh tertuduh serta kejadian adalah pada waktu siang.

Katanya, mangsa juga minta tolong, namun dihalang oleh tertuduh yang tidak membenarkan orang awam membantu mangsa sebelum mangsa meninggal disebabkan pendarahan yang banyak.

Mahkamah membuat keputusan dengan mengetepikan hukuman mati terhadap Mohamad Zulkifli dan menggantikan hukuman penjara selama 35 tahun.

Kes pembunuhan itu mendapat perhatian ramai sebelum ini ekoran tular di media sosial yang mendakwa Mohamad Zulkifli melakukan perbuatan itu kerana mempertahankan diri daripada kedua-dua mangsa terbabit yang cuba merompak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:16 PM