GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 54 tertuduh terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini, menggantikan hukuman itu dengan penjara di antara 30 hingga 38 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman mati terhadap kesemua tertuduh iaitu bagi kes bunuh dan kes dadah.

Bagi kes dadah, tertuduh dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun, manakala kes bunuh antara 35 hingga 38 tahun.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menerima permohonan kesemua tertuduh yang dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Panel tiga hakim yang diketuai Tun Tengku Maimun bersidang bersama-sama Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Persidangan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi di sini, pada semalam dan hari ini membabitkan enam kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan 48 kes dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz dan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol, manakala tertuduh diwakili peguam yang dilantik oleh pihak mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:47 AM