Zatul Iffah Zolkiply


PENIAGA dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, hari ini, kerana membunuh lelaki di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman pada Disember 2015.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas tertuduh, Mohamad Zulkifli Ismail, 53, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh pencari besi, Zulkefle Abdullah, 37, di kawasan rumah di Jalan Kemaman-Dungun, Kampung Labohan, Kerteh pada 10.30 pagi 7 Disember 2015.

Selain itu, bapa kepada tiga anak yang didakwa mengikut Seksyen 326 kanun sama turut dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana mendatangkan cedera parah kepada rakan Zulkefle, Faizul Awang, 34, yang kudung kaki kanan di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan tindakan tertuduh untuk mempertahankan dirinya kerana tertuduh yang menyerang mangsa, selain lokasi kejadian yang tidak berpagar dan membolehkan tertuduh melarikan diri sekiranya diserang.

"Ketika kejadian, tertuduh juga mempunyai telefon bimbit, namun tidak digunakan untuk meminta pertolongan dan tertuduh boleh melarikan diri dan meminta tolong sekiranya diserang memandangkan ia berlaku berhampiran jalan utama.

"Pihak pembelaan mendakwa wujudnya provokasi sedangkan jarak antara dua mangsa dan tertuduh agak jauh, jadi tidak timbul isu provokasi.

"Tertuduh juga mendakwa perbuatan mencederakan mangsa tidak disengajakan, namun hasil keterangan dan siasatan mendapati tikaman di dada kanan kedua-dua mangsa disengajakan," katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Syazwani Zawawi, manakala tertuduh diwakili peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein.

Zainal Azman sebelum menjatuhkan hukuman berkata, keputusan dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam dan hukuman yang diambil untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.

Katanya, masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan situasi sama.

"Jika berdepan situasi itu, hubungi polis dan biar mereka jalankan tugas mereka. Jangan jadikan undang-undang negara kita,undang-undang rimba," katanya.

Turut kelihatan di mahkamah adalah ahli keluarga Mohamad Zulkifli.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohamad Zulkifli menyerang dua lelaki yang memasuki kawasan rumahnya menggunakan parang mengakibatkan seorang daripada mereka jatuh dan meninggal dunia di bahu jalan, manakala seorang lagi cedera.

Kes Mohamad Zulkifli yang kononnya mendakwa mempertahankan diri dan keluarga daripada rompakan menjadi viral di laman sosial hingga wujudnya kumpulan tertentu yang dikatakan membela tertuduh.

Berita berkaitan:

Maut ditetak tauke kedai

Sebutan semula kes bunuh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 2:36 PM
MOHAMMAD Zulkifli dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
MOHAMMAD Zulkifli dihukum gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria