NAJHAN bertugas di Dewan Bedah Hospital Pakar King Faisal, Jeddah, Arab Saudi. FOTO Ihsan Najhan Hassim
NAJHAN bertugas di Dewan Bedah Hospital Pakar King Faisal, Jeddah, Arab Saudi. FOTO Ihsan Najhan Hassim
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Ketibaan Ramadan pastinya mengusik hati Najhan Hassim, 33, yang berkhidmat sebagai jururawat pembedahan di Hospital Pakar King Faisal, Jeddah, Arab Saudi.

Dia yang sudah lima tahun bertugas di luar negara berkata, suasana sambutan Ramadan di Malaysia dan luar negara jauh berbeza, terutama menjelang waktu berbuka puasa.

Menurutnya, biarpun sambutan Ramadan tanpa kehadiran keluarga tercinta, dia bersyukur kerana dikelilingi komuniti Melayu yang juga warga Malaysia yang turut bekerja di sana.

Katanya, bagi mengubat rindu, dia akan menyertai acara berbuka puasa yang dianjurkan komuniti berkenaan yang bekerja dalam pelbagai bidang.

"Pada tahun pertama di sini, sambutan Ramadan saya cukup sayu. Suasana sangat berbeza, tidak seperti ketika bersahur serta berbuka dengan keluarga. Di sini, saya melakukannya berseorangan.

"Alhamdulillah, kerinduan itu terubat sebab ada komuniti Melayu di Jeddah. Sebahagian besar mereka umpama ibu dan kakak saya. Mereka ini datang daripada pelbagai bidang pekerjaan di sini. Ada yang bekerja di kedutaan, hotel, jurutera dan pelbagai lagi.

"Apa yang dibuat adalah, setiap hari kami akan berbuka puasa mengikut giliran. Kiranya, satu hari satu rumah. Cukup 30 hari berbuka di rumah berbeza. Ia menjadi rutin tahunan di sini. Jadi, dapatlah saya merasa makanan Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

KETIKA berbuka puasa bersama komuniti Melayu di Jeddah. FOTO Ihsan Najhan Hassim
KETIKA berbuka puasa bersama komuniti Melayu di Jeddah. FOTO Ihsan Najhan Hassim

Menurutnya, perkara yang paling dirindukan adalah pergi ke bazar Ramadan dan berbuka puasa bersama keluarga.

"Di sini memang tiada bazar Ramadan. Pada saya, itu antara elemen kemeriahan sambutan Ramadan.

"Cumanya, jika di sini, kalau hendak menikmati suasana kemeriahan berbuka, boleh pergi di Masjid Nabawi, Madinah atau Masjidil Haram, Makkah. Di situ, orang ramai akan berbuka puasa di dataran.

"Jika hendak menikmati makanan Melayu, perlu masak sendiri. Tetapi, sejak menyertai komuniti Melayu di sini, dapatlah saya menikmati masakan Malaysia seperti asam pedas, kuih muih tradisional dan banyak lagi," katanya.

Menurutnya, satu kelebihan buat dirinya ialah dapat menunaikan umrah pada setiap bulan, termasuk pada Ramadan.

Katanya, waktu bekerja dipendekkan bagi membolehkan orang ramai memberi fokus pada ibadat.

"Di sini, waktu bekerja kami dipendekkan daripada biasa. Tiada lagu-lagu dipasang melainkan alunan ayat suci al-Quran. Pendek kata, memang lebihkan ibadat saja. Apatah lagi, semuanya berlumba-lumba hendak menunaikan solat tarawih.

"Alhamdulillah, setiap kali Ramadan juga saya dapat menunaikan umrah. Insya-Allah, pada 22 Mac ini, saya sekali lagi akan pergi buat umrah. Malah, ibadat umrah ini sudah menjadi rutin saya pada setiap bulan sebenarnya," katanya.

NAJHAN ketika menunaikan umrah pada Ramadan. FOTO Ihsan Najhan Hassim
NAJHAN ketika menunaikan umrah pada Ramadan. FOTO Ihsan Najhan Hassim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 7:45 AM