Roselan Ab Malek

Temerloh: Masjid Temerloh Jaya (MTJ), di sini, yang dikenali sebagai masjid paling imarah di negara ini terus menyantuni jemaah apabila menyediakan 300 hidangan berbuka puasa setiap hari bermula awal hingga akhir Ramadan ini.

Pengerusi MTJ Dr Abdullah Ismail berkata, program itu sudah dimulakan sejak enam tahun lalu dan mendapat sambutan baik di kalangan jemaah termasuk golongan musafir dengan juadah disediakan oleh pihak katering.

"Kami (ahli jawatankuasa masjid) sentiasa istiqamah dalam usaha pengimarahan masjid ini pada setiap kali solat fardu bagi memastikan ia sentiasa penuh dengan jemaah khususnya di bulan Ramadan.

"Usaha ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai jemaah bersama keluarga berbuka di masjid sekali gus menunaikan solat Maghrib berjemaah kerana sebelum ini lebih ramai yang suka berbuka puasa di rumah sahaja," katanya.

Menurutnya, pihak masjid membelanjakan RM3,750 sehari iaitu kira-kira RM112,500 sebulan untuk program berbuka puasa ini.

"Semua perbelanjaan ini adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Program Iftar Ramadan yang dianjurkan sejak enam tahun dahulu.

"Dahulu jumlah hidangan yang disediakan hanya untuk 100 jemaah, dan tahun lalu meningkat untuk 250 orang dan tahun ini bertambah kepada 300 orang," katanya

SERAMAI 300 penduduk Temerloh Jaya berbuka di Masjid  Temerloh Jaya (TMJ) setiap hari sejak dari awal hingga akhir Ramadan. FOTO Roselan Ab MAlek
SERAMAI 300 penduduk Temerloh Jaya berbuka di Masjid Temerloh Jaya (TMJ) setiap hari sejak dari awal hingga akhir Ramadan. FOTO Roselan Ab MAlek

Menurutnya, selain kariah masjid, pihaknya turut menjemput tetamu khas setiap hari terdiri daripada ketua jabatan dan kakitangan kerajaan mahupun swasta di daerah ini datang berbuka puasa secara bergilir.

Katanya, MTJ kini menghadapi limpahan jemaah sehingga memenuhi setiap ruang dan melimpah-ruah ke luar pada waktu solat.

"Keadaan ini berlaku bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan lain juga sehingga diiktiraf dan menerina Anugerah Masjid Paling Imarah dan Anugerah Masjid Malaysia 2020 oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 800 jemaah di ruang solat pada satu-satu masa, namun sentiasa penuh sehingga mencecah 1,200 orang.

"Ruang dalam masjid kini sudah tidak mampu menampung kebanjiran jemaah dalam menunaikan solat terutama waktu Maghrib, Isyak serta Subuh dan keadaan ini sudah menjadi kebiasaan buat penduduk," katanya.

Menurutnya, kejayaan MTJ menarik ramai jemaah setiap kali waktu solat termasuk solat Subuh sehingga melimpah keluar menjadi tular seluruh negara sebelum ini dan kini masjid ini menjadi penanda aras kepada masjid seluruh negara.

Malah katanya, Ketua Polis Negara Tan Seri Acryl Sani Abdullah Sani bersama Ahli Jawatankuasa Masjid USJ 4, Selangor turut melawat MTJ, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:45 PM