PELBAGAI cabaran terpaksa ditempuhi ketika bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (PPH). FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL
PELBAGAI cabaran terpaksa ditempuhi ketika bertugas dalam Pasukan Polis Hutan (PPH). FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL
Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Ketika komunis mengganas, Pasukan Polis Hutan (PPH) antara wira yang sanggup mengorbankan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada dijajah musuh.

Bagi Sarjan (B) Rosidi Semail, 76, sepanjang lapan tahun berkhidmat di PPH, pelbagai kenangan pahit dan manis yang masih segar di ingatannya.

Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ketika bertugas di Hutan Belum, Perak pada Ramadan.

Rosidi berkata, selepas tamat latihan kepolisan pada awal 1970 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan Ulu Kinta, Perak, dia ditempatkan di Batalion ke 11, PPH Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, ketika itu komunis sedang mengganas dengan melakukan serangan sehingga menyebabkan ramai terkorban terutama membabitkan orang awam.

"Saya diarahkan bertugas di Hutan Belum pada tahun 1972 untuk menyekat komunis yang sering menggunakan laluan itu dari Weng, Selatan Thailand ke Gua Musang.

"Di Hutan Belum, saya bertugas selama dua bulan di sebuah pos keselamatan atau kubu yang didirikan pasukan jurutera tentera dan sempat berpuasa di sana," katanya.

DITUGASKAN menyekat pergerakan komunis di Hutan Belum. FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL
DITUGASKAN menyekat pergerakan komunis di Hutan Belum. FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL

Rosidi berkata, biarpun pada Ramadan, tugas tetap dijalankan seperti biasa untuk memastikan ancaman komunis dapat terus dibendung.

"Secara logiknya, apabila seharian tidak makan dan minum, boleh membuatkan seseorang itu tiada tenaga dan cepat penat.

"Bagaimanapun, kami masih lagi kekal cergas dan bertenaga sepanjang hari," katanya.

Menurutnya, selepas seharian menahan lapar dan dahaga, pasti timbul keinginan berbuka puasa dengan air sirap atau teh 'o' beng (ais) untuk membasahkan tekak.

"Jika di rumah, sudah pasti minuman ini menjadi antara pilihan hidangan berbuka puasa bersama keluarga. Namun di hutan, yang ada hanya nasi dan lauk sardin," katanya.

Oleh kerana terlalu teringin menikmati air sejuk ketika berbuka puasa, mereka mencari ikhtiar dengan menggunakan alam semula jadi.

TUGAS tetap dijalankan seperti biasa biarpun sedang menjalani ibadah puasa. FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL
TUGAS tetap dijalankan seperti biasa biarpun sedang menjalani ibadah puasa. FOTO IHSAN ROSIDI SEMAIL

"Kami mendapat idea untuk merendam botol aluminium berisi teh panas di celah-celah batu sungai sepanjang hari. Kemudian botol yang direndam selama lapan jam itu diambil semula sebelum waktu berbuka puasa.

"Disebabkan sungai di kawasan itu sejuk, air di dalam botol yang direndam seperti baru keluar daripada peti sejuk. Meneguk air teh 'o' rendam' terasa seperti minum teh 'o' beng sebenar. Terubat sedikit rasa kerinduan berbuka puasa bersama keluarga di rumah," katanya.

Tambahnya, selepas bersara dari perkhidmatan, dia bekerja sebagai kartunis di sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris di Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 7:01 AM