Paya Linda Yahya


Gua Musang: Masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop, di sini, cekal menjalani ibadah puasa walaupun berhadapan cabaran untuk mendapatkan bekalan makanan asas.

Menceritakan pengalaman berpuasa dan cabaran, guru agama serta imam lantikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Aris Rami, 53, berkata cabaran paling besar adalah faktor jarak untuk ke Bandar Gua Musang bagi membeli barangan keperluan.

Menurutnya, dia terpaksa menempuh perjalanan lebih 100 kilometer (km) menggunakan kereta untuk pergi dan balik bagi membeli makanan asas untuk aktiviti moreh bagi masyarakat Orang Asli.

Katanya, sepanjang Ramadan pelbagai aktiviti dilakukan termasuk tadarus dan kelas mengaji al-Quran untuk anak Orang Asli.

"Jarak yang jauh adalah cabaran besar buat kami. Walaupun keadaan jalan sudah baik, tidak semua Orang Asli mempunyai kenderaan sendiri dan kebiasaannya kami akan berpakat bila hendak keluar membeli makanan asas dan keperluan lain.

"Malah, di bulan Ramadan adakalanya kami hanya berbuka dengan ubi kayu dan kuih-muih sahaja apabila bekalan makanan terputus," katanya ketika ditemui di Pos Hendrop, di sini.

PENDUDUK Orang Asli Pos Hendrop menunaikan solat berjemaah bersama pelajar UniSZA, di Pos Hendrop, di sini, baru-baru ini. FOTO Paya Linda Yahya
PENDUDUK Orang Asli Pos Hendrop menunaikan solat berjemaah bersama pelajar UniSZA, di Pos Hendrop, di sini, baru-baru ini. FOTO Paya Linda Yahya

Sementara itu, Penghulu Pos Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, walaupun berhadapan cabaran, masyarakat Orang Asli tetap semangat melaksanakan ibadat puasa.

"Sebelum ini kami sudah dikunjungi pelajar Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedikit-sebanyak membantu membuat persiapan menyambut Ramadan.

"Alhamdulillah, dengan tunjuk ajar yang diberikan, kami lebih bersedia untuk menjalani ibadah Ramadan. Walaupun kami sudah lama memeluk agama Islam, tapi masih banyak yang perlu dipelajari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 3:17 PM