Laknatullah Zionis memukul petugas media AFP. FOTO AFP
Laknatullah Zionis memukul petugas media AFP. FOTO AFP
Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Rejim Zionis Israel tidak boleh dipercayai kerana sering melanggar perjanjian dan persefahaman dengan pihak lain khususnya kepada Palestin.

Penyelidik Sains Politik Universiti Malaya (UM) yang juga rakyat Palestin, Belal Samir berkata kejadian tembakan terbaru di Al-Aqsa semalam membuktikan rejim penjajah itu tidak menghormati perjanjian walaupun gencatan senjata sudah termeterai dengan Hamas.

Beliau berkata, kegelojohan tentera Israel mencemar lagi kesucian di Masjid Al-Aqsa pada waktu solat Jumaat menghantar mesej yang jelas kepada semua orang di seluruh dunia bahawa Israel tidak menginginkan kestabilan dan tidak menghormati perasaan umat Islam.

"Majoriti rakyat Palestin percaya bahawa mereka perlu memiliki kegigihan dan ketahanan secara aktif bagi menyerap asakan serangan Zionis tepat pada masanya.

"Sebab itu ketika tentera penjajah Israel menyerbu masjid Al-Aqsa, ramai orang Palestin tetap teguh berada di dalam masjid dan bersedia mempertahankan tempat suci umat Islam itu," katanya yang sedang menyiapkan tesis doktor falsafah (PhD) dalam isu Palestin.

Semalam, media melaporkan tidak sampai tempoh 24 jam perjanjian dengan Hamas, pihak Israel mencabuli gencatan senjata dengan menyerbu Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam Palestin sedang menunaikan solat Jumaat sebelum melepaskan peluru getah dan bom tangan ke arah jemaah.

Menurut Shehab News Agency, pertempuran berlaku di Masjid Al-Aqsa itu menyebabkan ramai rakyat Palestin yang cedera serta ditangkap.

"Pertembungan dalam Masjid Al-Aqsa setelah Israel menyerang perarakan kemenangan pejuang Palestin," kata agensi berita Palestin itu.

Terdahulu, pejuang Hamas dan Israel bersetuju untuk melakukan gencatan senjata, yang bermula semalam, sekali gus menghentikan pertempuran selama 11 hari antara kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 5:38 PM