IRNIE Azlin berbual dengan Mohd Hafiz selepas menerima ijazah kedoktoran mereka, semalam.
IRNIE Azlin berbual dengan Mohd Hafiz selepas menerima ijazah kedoktoran mereka, semalam.
Fuad Hadinata Yaacob dan Ayusliza Azizan

Shah Alam: “Pernah terdetik hati saya untuk berhenti belajar selepas anak ketiga disahkan cacat pendengaran pada 2013. Namun sokongan suami dan keluarga menguatkan semangat untuk menghadapinya sehinggalah saya berjaya hari ini (semalam),” kata Irnie Azlin Zakaria, 39.

Irnie Azlin adalah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Irnie berkata, anak lelakinya disahkan mengalami masalah pendengaran ketika berusia setahun lapan bulan dan dia ketika itu menuntut dalam semester dua.

“Pada masa itu saya perlu meluangkan masa mengajar anak bercakap dengan menggunakan alat bantuan mendengar dan pada masa sama perlu meneruskan pengajian.

“Ketika itu terdetik di hati untuk berhenti belajar, namun sokongan suami dan keluarga menguatkan semangat saya dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke- 86 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, semalam.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM ke-5 pada majlis semalam berkenan menyempurnakan penganugerahan PhD dan Ijazah Sarjana kepada 500 graduan, semalam.

Lebih manis pada majlis itu Irnie Azlin yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM turut menerima Anugerah Penyelidikan Cemerlang (Kejuruteraan Mekanikal) selepas berjaya menyelesaikan penyelidikan dalam tempoh tiga tahun.

“Saya bersyukur dapat menyiapkan penyelidikan dalam tempoh tiga tahun walaupun pelbagai cabaran serta dugaan dilalui dan kini anak saya, Muhammad Aqeel Mohd Norsham berusia empat tahun setengah serta boleh bercakap,” katanya.

Seorang lagi penerima Anugerah Penyelidikan Cemerlang, Mohd Hafiz Mohd Hanafiah, 35, berkata, hubungan baik dengan penyelia serta rakan penyelidik mendorongnya menghabiskan tesis dalam tempoh tiga tahun.

Dia yang menamatkan pengajian PhD dalam Pengurusan Hotel dan Pelancongan berkata, penyelianya yang juga Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan sentiasa membimbing serta memastikan tugasan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

“Selain itu, rakan penyelidik yang juga sahabat saya turut membantu dalam menyiapkan tesis. Kami saling ingat-mengingati antara satu sama lain,” katanya.

Istiadat konvokesyen UiTM ke-86 yang membuka tirainya semalam, menyaksikan 11 sidang berlangsung dari 15 hingga 20 April bagi cawangan Shah Alam membabitkan 11,341 graduan.

Seramai 28,618 graduan akan menerima anugerah masing-masing di kampus cawangan UiTM seluruh negara membabitkan 91 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (1,302), Diploma Lepasan Ijazah (62), Ijazah Sarjana Muda (13,812), Profesional (59) dan diploma (13,292).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:24 AM