GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Pesakit Covid-19 tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di dalam pengangkutan awam, mulai Rabu depan.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata individu positif Covid-19 dikehendaki (tidak diwajibkan) memakai pelitup muka ketika berada di kemudahan kesihatan.

Katanya, arahan tempoh pengasingan kes Covid-19 dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari bermulanya (onset) gejala pertama, berkuat kuasa mulai tarikh sama.

Beliau berkata, tempoh pengasingan kes Covid-19 pula dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari onset gejala pertama, berkuat kuasa pada tarikh sama iaitu 5 Julai. Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April tahun lalu.

Dr Zaliha berkata, penetapan itu sebahagian daripada kelonggaran garis panduan Covid-19 berdasarkan perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan dan kemas kini protokol Covid-19.

"Susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu berkenaan status Covid-19 yang tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) membuat semakan semula dan mengemas kini SOP berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Walaupun beberapa kelonggaran kepada SOP Covid-19 diberikan ketika Fasa Peralihan dari pandemik Covid-19 yang bermula sejak 1 April 2022, KKM terus melaksanakan pelbagai polisi dan aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemakaian pelitup muka, beliau berkata ia hanya dikehendaki ke atas pesakit positif dan kepada petugas kesihatan mengikut amalan Kawalan dan Pencegahan Infeksi semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.

Katanya, SOP sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka ke atas pesakit COVID-19, semasa berada di dalam pengangkutan awam (kecuali kapal terbang) dan di fasiliti kesihatan.

"Namun berkuat kuasa Rabu ini, pemakaian pelitup muka ke atas individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak atau yang mempunyai pengudaraan kurang baik.

"Selain itu, individu yang bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas atau van pekerja dan bas,van sekolah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha memaklumkan, status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang berakhir esok, dilanjutkanenam bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember.

"Perlanjutan Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang digubal atas kuasa Menteri di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

"Perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempatan Jangkitan juga masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.

sambungan

"Selain itu, perhimpunan ramai ketika sambutan Hari Raya Aidiladhahari ini dan seterusnya pada Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Katanya, KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian yang dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan.

"KKM menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kawalan kendiri yang baik seperti yang diamalkan pada masa ini, termasuk memastikan kebersihan diri bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

"Orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti terutamanya golongan berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 12:19 PM