FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

KKM mengambil maklum situasi jangkitan Covid-19, malah melalui data semasa dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati secara keseluruhannya trend kejadian pandemik berada dalam keadaan terkawal di kebanyakan negara seluruh dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, WHO melalui sidang media pada 21 Disember lalu juga yakin bahawa kini situasi terbabit adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Sungguhpun begitu, dalam sidang media sama WHO juga turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa di China, mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19.

"Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China sekitar awal bulan ini untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik Covid-19 mereka yang ketat.

"Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Sempadan negara dibuka kepada pelancong serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain dipertingkatkan.

"Justeru, dengan mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa variant Delta melanda seluruh dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, antara langkah dilaksana negara dalam menangani pandemik termasuk meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak, mengukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan dan memastikan semua CAC bersedia untuk menerima pesakit.

Beliau berkata, KKM turut menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun ini di semua peringkat.

"Inisiatif ini antara lain untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, masyarakat dinasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mereka yang bergejala digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian Covid-19 kendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 11:25 AM