GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di kemudahan kesihatan seperti hospital dan pengangkutan awam mendapat reaksi positif orang ramai selain ada yang berpandangan pemakaiannya terpulang kepada pertimbangan dan keperluan individu.

Rata-rata rakyat Malaysia yang ditemui dalam tinjauan Bernama menyambut baik peraturan baharu mengenai pemakaian pelitup muka bagi individu positif COVID-19 semasa berada di dua lokasi berkenaan seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini.

R Arese Nesi, 21, berkata, kelonggaran tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam sudah pasti sesuatu yang sangat menggembirakan kerana ia secara tidak langsung menunjukkan situasi semasa COVID-19 dalam negara semakin pulih.

"Jika situasi tidak bagus, mesti kerajaan tidak mengumumkan kelonggaran ini. Saya rasa ia sangat baik kerana tidak perlu memakai (pelitup muka) apabila menaiki LRT (Transit Aliran Ringan) atau MRT (Transit Aliran Massa) kerana ia selalu sesak, tambah lagi pakai pelitup muka, rasa sukar," kata pelajar tahun dua diploma jurusan komunikasi di sebuah universiti tempatan kepada Bernama di sini hari ini.

Malaysia berada di fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022.

Menurut guru di sebuah sekolah antarabangsa, Lisa Licson, 25, berkata, orang ramai tidak perlu lagi bimbang akan dikenakan kompaun atau denda sekiranya tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan ketika berada dalam kawasan kemudahan kesihatan.

"Apabila pengumuman ini dah kata tidak lagi perlu memakai pelitup muka, bagi saya itu perkara yang bagus. Saya rasa kepentingan pemakaian pelitup muka ini bergantung kepada diri masing-masing," katanya.

Bagi Muhammad Said Abdullah, 29, pula melahirkan rasa gembira dengan pengumuman kerajaan, namun bimbang sekiranya jangkitan COVID-19 kembali menular secara agresif pada masa akan datang.

"Sebelum ini sebagai seorang pemandu Grab, saya sentiasa pesan kepada penumpang agar memakai pelitup muka, malah akan memberikannya jika mereka tidak membawa. Sekarang saya tidak perlu berbuat demikian lagi," katanya.

Beliau bagaimanapun mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka jika mengalami selesema, batuk atau demam bagi mengelakkan menjangkiti penumpang yang menaiki kenderaannya.

Eksekutif Media Sosial Digital 38 Sdn Bhd, Nik Nur Najla Nik Zaid, 24, pula mempunyai pendapat yang berbeza bahawa pengguna pengangkutan awam tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada risiko dijangkiti wabak berkenaan apabila berhadapan dengan keadaan penumpang yang sesak di dalam kenderaan.

"Setiap masa pergi dan balik kerja memang situasi di dalam LRT itu berhimpit, kita tak tahu keadaan individu-individu di dalam LRT itu. Bagaimanapun ia terpulang dekat individu tu sendiri, kalau memang ada rasa takut, rasa tanggungjawab dan sayang diri sendiri mesti mereka akan pakai (pelitup muka) walaupun sudah tidak wajib," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan individu positif Covid-19 kini tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam dan di kawasan kemudahan kesihatan, berkuat kuasa 5 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 7:55 PM