Aizat Sharif


Kangar: "Kalau kata (ditakdirkan) saya meninggal dunia, simpan (kebumi) saya di samping suami".

Itulah hasrat seorang guru, Haida Sofina Ahmad Safri, 28 secara berseloroh kepada ahli keluarganya ketika Aidilfitri lalu.

Namun, permintaan yang dianggap sebagai gurauan itu menjadi realiti selepas dia dan suaminya, Mohd Nazri Khalid, 32 menemui ajal dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM7.6 Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran simpang Alor Sena, di Beseri semalam.

Perkara itu didedahkan oleh bapa Haida Sofina iaitu Ahmad Safri Abu, 51 yang beranggapan permintaan itu agak pelik, dan tidak menyangka ia menjadi kenyataan.

"(Jika sesuatu berlaku) Dia pesan supaya mengebumikannya di sebelah (kubur) suaminya di Kampung Kuala Temoyong, Langkawi.

"Dia cakap pasal perkara ini secara melawak dan kita tidak sangka apa-apa yang pelik," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah, di sini hari ini.

Katanya, anak sulung daripada enam adik beradik itu baharu di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Perlis) di Jalan Padang Behor, Kangar pada 20 Mac lalu.

"Masa kejadian itu, anak saya dan suaminya baharu pulang dari Langkawi dengan menunggang motosikal menaiki feri Roro.

"Mereka dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Beseri Jaya dan ketika kejadian hujan lebat.

"Kami baharu bercadang menziarahi mereka selepas Aidilfitri tetapi tidak sangka kemalangan ini berlaku," katanya.

Besan kepada Ahmad Safri iaitu Khalid Othman, 55 berkata, anaknya, Mohd Nazri bekerja sebagai mekanik di Langkawi dan melawat Haida Sofina setiap kali hujung minggu atau jika kelapangan.

"Menantu dan anak saya ini sudah berkahwin sejak 2021 dan mereka seorang baik dan selalu membantu keluarga.

"Mereka sering akan memastikan kelengkapan kami sekeluarga terjaga," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala dan leher.

Terdahulu, ahli keluarga, sanak saudara dan rakan guru kedua-dua mangsa memenuhi perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi menantikan proses bedah siasat selesai.

Turut hadir adalah Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Jenazah kemudian dibawa menuju ke Terminal Feri Kuala Perlis sebelum dibawa belayar ke Pulau Langkawi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Temoyong, Langkawi selepas solat Asar.

Dalam kejadian semalam, suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori satu tan yang membuat pusingan U secara melulu di Kilometer (KM) 7.6 Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran simpang Alor Sena, Paya, Beseri, Padang Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 2:45 PM