Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Timah Tasoh, Perlis, hari ini. - Foto Ihsan BOMBA DAN PENYELAMAT PERLIS
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Timah Tasoh, Perlis, hari ini. - Foto Ihsan BOMBA DAN PENYELAMAT PERLIS
Anggota penyelamat memberi rawatan awal kepada mangsa selepas dikeluarkan dari kereta. - Foto Ihsan BOMBA DAN PENYELAMAT PERLIS
Anggota penyelamat memberi rawatan awal kepada mangsa selepas dikeluarkan dari kereta. - Foto Ihsan BOMBA DAN PENYELAMAT PERLIS
Aizat Sharif


Padang Besar: Seorang guru maut apabila kereta Perodua Kancil dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 21.2 Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Timah Tasoh, Padang Besar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Rizani Che Ismail berkata, Norhaiza Ghazali, 38, juga guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Besar (Utara) meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas cedera parah dalam kemalangan 2.30 petang itu.

“Kemalangan membabitkan tiga lagi kenderaan iaitu lori simen, kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dan Perodua Kelisa.

“Lori simen yang terbabas memasuki laluan bertentangan di satu selekoh tajam ketika dalam perjalanan ke Padang Besar, merempuh tiga kenderaan terbabit yang menghala ke Kangar,” katanya di sini, hari ini.

Rizani berkata, lori simen itu terbalik manakala kenderaan lain terbabas ke bahu jalan.

“Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kangar mengeluarkan mangsa yang tersepit termasuk Norhaiza sebelum dihantar ke HTF. Bagaimanapun, Norhaiza meninggal dunia selepas tiba di hospital,” katanya.

Tiga lagi mangsa yang cedera masih dirawat di HTF iaitu pemandu lori simen, Zamzuri Anuar Zakaria, 29, pemandu X-Trail Heng Chee Wat, 35, dan pemandu Kelisa, Anand@Adenan Iskandar Rossidi, 21.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 7:46 PM