Gambar hiasan
Gambar hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PEMANDU lori yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis trafik berikutan tidak berpuas hati dikenakan saman kerana melanggar lampu isyarat di Jalan Kangar-Padang Besar di Kampung Salang, Kangar sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata dalam kejadian 12.24 tengahari semalam, suspek yang berusia 37 tahun dipercayai memandu dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota polis sejurus diberikan notis saman.

"Pada awalnya suspek yang memandu lori tidak memberhentikan kenderaannya sewaktu lampu isyarat bertukar merah.

"Anggota berkenaan yang ketika itu bersama sepasukan polis dari unit penguatkuasaan trafik mengejar suspek dan memberikan notis saman kepadanya.

"Suspek yang tidak berpuas hati mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota sebanyak dua kali sebelum beredar dengan lorinya dan berjaya ditahan semula di km 5 Jalan Kangar-Padang Besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Beseri untuk tindakan selanjutnya sebelum direman pagi ini.

"Suspek direman sehari dan akan didakwa dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Sekyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 4:56 PM