HARIMAU ditangkap untuk proses rawatan.
HARIMAU ditangkap untuk proses rawatan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Bukan mudah menguruskan raja rimba atau pak belang yang cedera, sakit, garang dan agresif.

Namun semua itu mampu diharungi 'pakar harimau' di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) yang diamanahkan tugas menjaga serta merawat Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) berprofil tinggi.

Kebanyakan mamalia pemangsa ini terbabit dalam kes serangan terhadap manusia dan haiwan ternakan sebelum berjaya ditangkap menggunakan perangkap khas.

Ketua Pusat NWRC, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ishak Muhamad berkata, pusat pemuliharaan hidupan liar itu dikendalikan kakitangan profesional, berpengetahuan tinggi serta berkemahiran mengendalikan haiwan liar dilindungi.

Menurutnya, sehingga kini petugas di NWRC terbabit dalam usaha menyelamat, memindahkan dan merawat enam ekor harimau Malaya 'terkenal' yang ditangkap Perhilitan di seluruh negara.

"Antaranya harimau jantan diberi gelaran Yeop Tapah, Awang Besul, Atan Kerteh dan Awang Rasau selain dua harimau betina dinamakan Syamilla Bihai dan Mek Santong.

"Walau bagaimanapun Awang Besul gagal diselamatkan berikutan mati akibat jangkitan virus Canine Temper Disorder. Manakala Awang Rasau mati kesan komplikasi teruk ditembak pemburu haram," katanya.

"Pasangan Atan Kerteh dan Syamilla Bihai pula sudah dihantar ke Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Pahang untuk program pembiakan harimau Malaya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Mek Santong yang ditangkap di Felda Kerteh, Terengganu minggu lalu masih menjalani proses kuarantin dan berada dalam keadaan sihat.

"Kebiasaannya harimau yang diselamatkan akan ditempatkan di NWRC untuk dikuarantin selama 14 hari. Jika harimau itu mengalami kecederaan, ia akan dirawat dengan lebih lanjut, melalui proses kawalan penyakit berjangkit dan sebagainya.

"Terdapat pelbagai cabaran utama menguruskan harimau Malaya susulan haiwan liar ini diselamatkan dalam pelbagai situasi. Ada yang ditemui dalam keadaan cedera parah dijerat atau ditembak pemburu haram selain tua dan berpenyakit.

"Kebiasaannya harimau Malaya tua mengalami penyakit seperti osteoarthritis, katarak, ricket selain penyakit pyometra bagi harimau betina," katanya.

Ishak berkata, masalah turut berlaku bagi pasangan harimau yang tidak serasi terutama jika harimau dilahirkan dalam kurungan,

"Selain itu, wujud masalah pembiakan baka baharu susulan keadaan harimau yang kurang produktif apabila kebanyakan mamalia jantan ini mempunyai air mani kurang berkualiti.

"Ia boleh berpunca akibat faktor persekitaran habitat, stress, pemakanan dan lain-lain faktor. Isu kekurangan induk ini turut menjadi faktor penurunan populasi harimau Malaya ketika ini," katanya.

KEBIASAANNYA harimau yang diselamatkan akan ditempatkan di NWRC untuk dikuarantin selama 14 hari.
KEBIASAANNYA harimau yang diselamatkan akan ditempatkan di NWRC untuk dikuarantin selama 14 hari.

Menurutnya, kebiasaannya harimau Malaya yang ditangkap dan dibawa ke NWRC akan dijadikan induk bagi program pembiakan Harimau Malaya secara exsitu bertujuan untuk menambah populasi.

Beliau berkata, sebanyak enam operasi menyelamat dan translokasi harimau Malaya dijalankan pihak NWRC sejak tahun 2013 hingga kini.

"Bagi spesies harimau Malaya ditempatkan di NWRC, seramai sembilan kakitangan dan dua doktor veterinar ditugaskan untuk mengendalikan harimau berkenaan.

"Antara hidupan lain yang ditempatkan di NWRC adalah beruang matahari, spesies primat seperti ungka dan siamang, spesies reptilia, spesies burung dan tapir.

"Turut ditempatkan adalah spesies karnivora seperti harimau kumbang, harimau dahan, kucing batu dan lain-lain lagi," katanya.

Berdasarkan sejarah, NWRC terletak di Sungkai, Perak ini ditubuhkan sebagai pusat penempatan spesies hidupan liar terancam yang diselamatkan daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan di Semenanjung Malaysia.

Pusat ini akan menjalankan fungsinya berasaskan konsep 3R iaitu Rescue (Menyelamat), Rehabilitate (Rehabilitasi) dan Release (Pelepasan).

KAKITANGAN profesional NWRC menguruskan Harimau Malaya yang ditangkap atau cedera.
KAKITANGAN profesional NWRC menguruskan Harimau Malaya yang ditangkap atau cedera.

Tinggal kurang 200 Harimau Malaya

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menggiatkan usaha pembiakan Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni bagi memastikan populasi spesies terancam ini terus meningkat.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, populasi harimau Malaya dalam hutan di negara ini semakin berkurangan dengan anggaran berbaki kurang 200 ekor.

Menurutnya, situasi itu amat membimbangkan semua pihak dan Perhilitan akan memastikan langkah drastik diambil untuk menyelamatkan spesies haiwan terancam ini.

"Pelbagai kajian dan penyelidikan dilaksanakan sebelum program pembiakan harimau belang dijalankan di Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) Lanchang, Pahang, dengan usaha sama kerajaan negeri, agensi berkaitan termasuk Zoo Melaka.

"NTCC akan membiak harimau dalam kurungan sebelum dilepaskan ke habitat liar bagi menambah kembali populasi haiwan itu dalam hutan. Sekiranya tiada langkah drastik diambil, Harimau Malaya dibimbangi akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

NWRC usaha pastikan Harimau Malaya tidak pupus dan selamat sejurus ditangkap.
NWRC usaha pastikan Harimau Malaya tidak pupus dan selamat sejurus ditangkap.

Menurutnya, menerusi program 'rewilding' itu anak harimau akan dilatih untuk berdikari dalam tempoh dua atau tiga tahun sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

Kadir berkata, pihaknya akan mempertingkatkan program konservasi Harimau Malaya dan pelbagai spesies hidupan liar menerusi peruntukan dalam Bajet 2023.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM36 juta dalam program konservasi ini akan digunakan bagi memastikan Harimau Malaya dan spesies hidupan liar lain tidak pupus.

"Selain itu, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta kes-kes kemalangan yang melibatkan hidupan liar terutamanya bagi spesies gajah," katanya

"Program ini melibatkan pelantikan Veteran ATM, Veteran PDRM, Orang Asli dan masyarakat setempat (VETOA) sebagai Renjer Komuniti serta Program Operasi Bersepadu Khazanah iaitu kerjasama bersama PDRM, JKDM, Jabatan Perhutanan, NGO dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 7:30 AM