SUNGKAI hasil pertemuan baka harimau betina bernama Tanjung dan harimau jantan bernama ScarFace.
SUNGKAI hasil pertemuan baka harimau betina bernama Tanjung dan harimau jantan bernama ScarFace.

Sungkai: Berasal dari 'keturunan' pemakan daging manusia menjadikan 'Sungkai' yang kini berusia lapan tahun amat agresif dan buas tatkala tertentang mata dengan manusia.

Ia terbukti apabila harimau Malaya seberat lebih 100 kilogram ini segera menerkam ke arah penjaganya di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di sini, walaupun dipisahkan dengan jeriji besi tebal.

Harimau jantan hasil pertemuan baka harimau betina bernama Tanjung dan harimau jantan bernama ScarFace (muka berparut) ini jelas mewarisi sifat ganas bapanya yang dianggap harimau legenda.

Bapanya ScarFace sebelum ini pernah menggemparkan negara 16 tahun lalu membaham mati empat manusia di Kelantan.

'Penjinak' harimau yang dianggap 'sifu', Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Nik Mohd Zamani Awang, 39, berkata, tugasnya berdampingan dengan harimau sejak lebih 20 tahun lalu menjadikan dia arif dengan tabiat dan perangai haiwan pemangsa itu.

Selain harimau Malaya bernama Sungkai, terdapat 13 ekor lagi harimau ditempatkan di NWRC iaitu Stacy, Johnny Chemon, Jay, Jeli, Tapah, Cindai, Dido, Nicky, Zanah dan Lobo.

Nik Mohd Zamani yang dianggap 'guru' berpengalaman dan tempat rujukan dalam isu membabitkan harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) mula mengabdikan diri sejak NWRC diwujudkan 10 tahun lalu.

Berkelulusan dalam bidang sarjana muda sains (kepujian) biologi, dia yang pernah berkhidmat di Zoo Melaka amat memahami karektor dan 'perangai' setiap ekor harimau di bawah pengawasannya.

"Di sini saya dibantu seramai 8 kakitangan yang menumpukan khusus terhadap lima blok di NWRC yang menempatkan kumpulan raja rimba ini.

"Tiga blok dikhususkan untuk pembiakan dan dua lagi blok menempatkan harimau Malaya yang sudah tua, sakit dan berdepan pelbagai masalah lain," katanya.

Beliau berkata, pusat berkenaan pernah menempatkan sehingga 22 ekor harimau Belang pada 2013.

"Namun bilangan itu berkurangan apabila ada antaranya mati akibat faktor tua dan penyakit selain ada antaranya dipindahkan ke Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Lanchang, Pahang selain Taman Tema Lost World Of Tambun, Ipoh.

"Ketika ini terdapat harimau diberi nama Johnny dan Sungkai yang lahir dalam kurungan di sini selain Yeop Tapah dan Cindai yang ditempatkan di blok pembiakan," katanya.

Selain itu terdapat juga harimau ditempatkan di sini, membabitkan haiwan liar yang dirampas atau diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan.

Antaranya harimau spesis Indo China bernama Stacy yang dirampas Perhilitan dari Hulu Langat, Selangor pada 2016 selain harimau betina bernama Nicky berusia 20 tahun.

"Nicky sebelum ini dibeli oleh seorang individu bergelar Datuk sebelum diserahkan kepada kami. Tindakan itu berjaya menghalang harimau berkenaan dari menjadi mangsa penyeludupan.

"Selain itu terdapat juga harimau 'uzur' diberi nama Chemon yang kini berusia 21 tahun. Begitu juga dengan harimau jantan bernama Lobo yang menghadapi masalah kesihatan radang sendi dan katarak akibat faktor usia," katanya.

Menurutnya, seekor lagi harimau betina bernama Zanah turut berdepan masalah kecelaruan emosi apabila tidak boleh didekati harimau jantan.

"Ia berkemungkinan ada kaitan dengan kehilangan kukunya yang dicabut sebelum ini. Ketiadaan kuku menyebabkan harimau betina ini hilang keyakinan berikutan kuku antara simbol kekuatan dan mempertahankan diri mamalia pemangsa itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat NWRC Ishak Muhamad berkata, pusat pemuliharaan hidupan liar itu dikendalikan kakitangan profesional membabitkan spesis haiwan terancam negara yang diselamatkan daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan di Semenanjung Malaysia.

HARIMAU yang diselamatkan dibawa ke NWRC.
HARIMAU yang diselamatkan dibawa ke NWRC.

'Tak pakai ilmu penunduk jinak pak belang'

"Tiada rahsia ilmu penunduk, tangkal atau petua diamalkan ketika menguruskan berpuluh harimau belang ini. Apa yang penting adalah mengutamakan aspek keselamatan dan faham 'perangai' haiwan pemangsa ini," ujar Ketua Unit Harimau Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Nik Mohd Zamani Awang.

Dia berkata, Harimau Belang atau (Panthera tigris jacksoni) adalah haiwan 'angkuh' yang menduduki carta teratas rantaian piramid pemangsa di hutan.

"Harimau Malaya hidup dan bergerak bersendirian kecuali ketika mahu mengawan atau masih memiliki anak kecil. Biasanya harimau memiliki 'kawasan jajahan' menjangkau 25 kilometer persegi.

"Bagi memastikan tiada harimau lain menceroboh kawasan mereka, harimau belang akan 'menandakan' kawasan mereka menggunakan air kencing. Air kencing harimau sememangnya amat hancing dan mampu dihidu dari jarak jauh," katanya.

Nik Mohd Zamani berkata, tabiat itu terbawa-bawa sehingga ke dalam sangkar kurungan di NWRC apabila haiwan itu akan sengaja kencing di setiap sudut kandang.

"Malah jika tidak berhati-hati petugas Perhilitan yang sedang berada berhampiran kandang turut akan terkena 'pancutan' kencing harimau.

"Harimau belang di NWRC mengenali setiap individu yang menjaganya baik dari segi suara, bau badan dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, jika dalam keadaan selesa atau 'mesra', harimau belang akan mengeluarkan bunyi khas purring atau getaran lembut.

"Namun jika tidak selesa, harimau akan mengaum kuat, menguap dengan menunjukkan taring atau berjalan ke hulu hilir tanpa henti. Perilaku ini juga menunjukkan harimau itu dalam keadaan bosan terutama ketika waktu petang.

"Berbeza dengan harimau betina yang sedang berahi dan mempunyai tanda-tanda mahu mengawan, harimau betina akan menghasilkan bunyi nada rendah, kerap bergesel pada dinding, berguling-guling serta menggerakkan ekornya.

"Harimau betina juga akan kerap melentikkan tubuh. Tabiat ini tidak jauh bezanya dengan kucing peliharaan," katanya.

ANGGOTA NWRC berjaya menangkap harimau belang.
ANGGOTA NWRC berjaya menangkap harimau belang.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba 'menjodohkan' harimau jantan dengan harimau betina terbabit sehingga tempoh tiga bulan.

"Jika menunjukkan tanda-tanda tidak 'serasi', kami akan menukarkan harimau jantan lain sehinggalah pembiakan berjaya dilakukan.

"Sesuatu yang perlu diketahui, harimau betina hanya akan terpikat kepada harimau jantan yang dominan dan dianggap paling kuat," katanya.

Menurutnya, kriteria dipilih itu bagi mengekalkan baka atau waris anak harimau terbaik.

"Kami pernah cuba menjodohkan harimau betina dengan harimau jantan bernama Johnny yang mempunyai sedikit masalah kesihatan. Ternyata Johnny ditolak 'mentah-mentah' oleh harimau betina," katanya.

Nik Mohd Zamani berkata, kemahiran dimiliki menyebabkan dia turut diperlukan dalam misi menjejaki atau memindahkan harimau belang yang ditangkap.

"Adakalanya saya perlu memasuki hutan sehingga berminggu-minggu untuk tugas menjejaki harimau. Saya pernah terbabit dalam usaha menangkap dan memindahkan harimau betina bernama Mek Santong di Hutan Simpan Rasau, Kerteh, Terengganu pada 29 Mac lalu.

"Saya juga terbabit dalam operasi menyelamatkan harimau bernama Awang Rasau yang ditangkap di Ladang Felda Kerteh 2, Kemaman, Terengganu, pada Februari 2021,

"Begitu juga dengan harimau 'gergasi' bernama Yeop Tapah seberat 180 kilogram yang diselamatkan di Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak pada 2016," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 12:00 PM