HARIMAU Malaya adalah haiwanyang mempunyai wilayah tersendiri dengan kawasan persekitaran antara 20 hingga 100 kilometer.
HARIMAU Malaya adalah haiwanyang mempunyai wilayah tersendiri dengan kawasan persekitaran antara 20 hingga 100 kilometer.
Tengku Hadi Tengku Fauzi

UMUM mengetahui harimau Malaya diangkat menjadi haiwan ikonik negara dan imejnya dijadikan simbol pada Jata Negara membawa maksud keberanian, kegagahan dan kekuatan.

Malah, skuad pasukan bola sepak kebangsaan juga menggunakan gelaran harimau Malaya dan mengabadikan corak Raja Rimba pada satu pesawat berbadan lebar A330 syarikat Penerbangan Malaysia.

Hakikatnya, harimau Malaya hanya terdapat di Semenanjung Malaysia sehingga ke kawasan hutan di Selatan Thailand dan antara enam subspesies harimau masih wujud di dunia, sekali gus menandakan ekosistem hutan yang baik di Semenanjung Malaysia.

Tiga subspesies harimau iaitu harimau Jawa, harimau Bali dan harimau Kaspian diisytiharkan pupus.

Kajian Survei Populasi Harimau Kebangsaan (1st NTS) oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dari 2016 hingga 2020 mendapati populasi harimau Malaya di kawasan berhutan dianggarkan kurang 150 ekor.

Jumlah yang membimbangkan, selain dikategorikan sebagai sangat terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Harimau Malaya adalah haiwan yang mempunyai wilayah tersendiri dengan kawasan persekitaran antara 20 hingga 100 kilometer (km). Populasinya yang semakin menurun menjadikan kebarangkalian untuk haiwan itu mengawan di hutan sangat rendah dan berisiko tinggi 'hilang' dari hutan negara ini.

Antara ancaman utama kepada haiwan itu ialah pemburuan haram dan jerat snare yang dipasang pemburu. Ia dikaitkan dengan harga seekor harimau Malaya dianggarkan sekitar RM600,000 hingga RM1 juta di pasaran gelap menjadikan haiwan itu menjadi kegilaan kumpulan pemburu haram.

Selain itu, kekurangan sumber makanan di hutan serta kompleks hutan terpisah antara faktor yang menyebabkan pengurangan populasi harimau Malaya di habitat semula jadi.

Makanan utama harimau Malaya yang hidup berkeliaran dalam hutan adalah rusa sambar, kijang serta babi hutan dan populasi haiwan yang berkurangan terutama rusa sambar sangat memberi kesan kepada harimau Malaya.

Justeru, Perhilitan membekukan lesen memburu mengikut Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Musim Tutup) berkuat kuasa pada 1 November 2016 bagi mengelak rusa sambar terus diburu.

Tidak ketinggalan Kerajaan Malaysia melalui Pelan Tindakan Konservasi Harimau Malaya 2008 hingga 2020 (NTCAP) dengan menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan spesies harimau Malaya ini kekal terjaga.

Susulan itu, bagi mengatasi masalah pemburuan haram, pihak Perhilitan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak 2019 yang berjaya mengurangkan kegiatan pemburuan haram di Malaysia.

Malah, industri minyak sawit Malaysia yang sering dikaitkan dengan isu kemusnahan biodiversiti dan ancaman kepada hidupan liar disebabkan aktiviti penebangan kawasan hutan bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit tidak terkecuali dalam usaha memulihara spesies harimau Malaya daripada terus diancam kepupusan.

Bagi usaha pemuliharaan ini, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) mewakili pihak industri sawit bekerjasama dengan Perhilitan bagi Program Konservasi Harimau Malaya menerusi perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani pada 12 April 2021.

Projek lima tahun dengan peruntukan RM3 juta itu bertujuan meningkatkan populasi harimau Malaya terutama di habitat asal membabitkan enam harimau Malaya ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) bagi menjalani proses pembiakan secara semula jadi selama dua tahun.

Sepanjang tempoh pembiakan ini, makanan dan ubat-ubatan ditaja MPOGCF.

Melalui projek ini, Perhilitan dan MPOGCF berhasrat mendapatkan lima anak harimau Malaya yang seterusnya akan menjalani proses pembiakan semula sebelum dilepaskan ke hutan. Proses akan dilakukan di Pusat Konservasi Harimau Malaya apabila anak harimau dilatih dengan kemahiran memburu dan cara menyesuaikan diri untuk hidup di dalam hutan.

Sebagai alternatif kepada pembiakan secara semula jadi, MPOGCF membantu Perhilitan dalam menyediakan kelengkapan dan kemahiran untuk Program Pembiakan Berbantu (ART) melalui teknik permanian beradas (AI). Melalui teknik berbantu ini, diharap usaha membiakkan harimau Malaya di NWRC akan membuahkan hasil.

Selain itu, pihak MPOGCF turut menaja bengkel penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pusat Konservasi Harimau Malaya serta beberapa projek penyelidikan dengan universiti tempatan. Antara penyelidikan dijalankan adalah Projek Penentuan Profil Hormon Pembiakan Harimau Malaya dan Projek Genomik dan Immunogenetik Harimau Malaya yang bertujuan mengkaji struktur genetik populasi dan profil genetik bagi harimau Malaya.

Usaha ini antara sebahagian komitmen industri minyak sawit Malaysia terhadap aktiviti konservasi hidupan liar dan biodiversiti selaras dengan objektif penubuhan MPOGCF.

Kita pernah kehilangan spesies badak Sumatera dan kita tidak mahu perkara sama berulang. Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha menambah populasi harimau Malaya ini beroleh kejayaan untuk generasi akan datang.

Penulis Eksekutif Pemuliharaan MPOGCF selaku koordinator program

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 5:59 AM