Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) dan isterinya berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine, 5 Mac lalu.

Tertuduh, Shahrizal Said, 46, dan Zarimah Yusof, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Majistret Melati Diana Abdul Wahab.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa mengedar Methamphetamine seberat 310 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 491, Batu Uban, Gelugor di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan.

Pada prosiding itu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Shahrizal Said, 46, berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Shahrizal Said, 46, berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI

Sementara itu, di mahkamah sama, pasangan berkenaan turut berdepan pertuduhan mengedar Methamphetamine dan kanabis bersama seorang individu yang masih bebas di sebuah kondominium di Gelugor.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu bersama seorang lelaki yang masih bebas didapati mengedar Methamphetamine seberat 6,489 gram dan kanabis seberat 7,144 gram.

Ketiga-tiga mereka didapati melakukan kesalahan itu di Oasis Kondominium Gelugor, jam 2.10 petang, 5 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula tiga kes terbabit sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:44 PM