GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: "Di sebalik apa yang terjadi pada awak berdua (tertuduh) terdapat perkara yang patut awak bersyukur, pindaan kepada hukuman gantung diluluskan, yang mana sebelum ini ramai didapati bersalah atas kesalahan ini digantung sampai mati," kata Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Paduka Azman Abdullah.

Nasihat itu ditujukan kepada dua rakan yang terlepas tali gantung, sebaliknya dijatuhi penjara 30 tahun dan dikenakan 12 sebatan di Mahkamah Tinggi, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine lima tahun lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zarif Mohd Noor Ajala, 46 dan Mohd Najmi Abd Rahim, 36 selepas perbicaraan penuh dijalankan.

Mengikut pertuduhan, kira-kira jam 3.45 petang, kedua-dua tertuduh bersama-sama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine berat bersih 768.9 gram di sebuah restoran makanan segera di Persiaran Pusat Bandar, Nilai, 18 September 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Najmi pada tarikh, masa dan tempat sama turut didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine berat bersih 13.11 gram.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan ini, Mohd Najmi dijatuhi hukuman dua tahun penjara dari tarikh dia ditangkap dan dua sebatan.

Azman ketika menjatuhkan hukuman memaklumkan kepada kedua-dua tertuduh supaya bersyukur kerana pindaan hukuman mati yang memberi ruang budi bicara mahkamah untuk mempunyai pilihan hukuman lain.

"Hari ini mahkamah mendapat maklum berhubung pindaan kepada hukuman gantung dan pada bulan lepas mahkamah boleh memberi hukuman pilihan pemenjaraan dan tidak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

"Ini semua bergantung kepada kepercayaan kita mana-mana agama, anutan, kalau kita tidak ditakdirkan mati di tali gantung sememangnya begitulah takdir," katanya.

Hakim turut menegaskan bagi rayuan yang bakal difailkan nanti hanya hukuman sebatan sahaja ditangguhkan sehingga rayuan selesai, namun hukuman penjara berjalan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin dan tertuduh kedua diwakili peguam, R Palaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 2:27 PM