Oleh Aizat Sharif


Kangar: Seorang warga Thailand berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah pada 17 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Alwa Nado, 33, yang berasal dari Yala, Thailand selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine dengan anggaran berat 2,149 gram.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 1,972 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Lorong 1, Jalan Kolam, Kampung Kolam, Padang Besar pada 17 Ogos lalu sekitar jam 2.45 petang.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan keputusan laporan kimia.

Pada 22 Ogos lalu, media melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai 'Kumpulan Wa' yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan ganja sekitar daerah Padang Besar.

Sindiket itu turut didalangi oleh lelaki warga Thailand berusia 33 tahun dan isterinya warga tempatan yang memperoleh bekalan dadah dari 'lorong tikus' sekitar pagar sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan disimpan dalam lubang yang digali berhampiran rumah ketua sindiket itu.

Tertuduh, warga Thailand, Alwa Nado (bertopi hitam kemudian dibuka) dibawa keluar dari lokap Mahkamah Kangar untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar atas kesalahan mengedar dadah. FOTO AIZAT SHARIF
Tertuduh, warga Thailand, Alwa Nado (bertopi hitam kemudian dibuka) dibawa keluar dari lokap Mahkamah Kangar untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar atas kesalahan mengedar dadah. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:42 PM