LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Tiga daripada lima nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Redang, di sini, ditemukan lemas.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan tersangkut pada boya unjam pada jarak kira-kira 15 kilometer dari lokasi bot terbalik, kira-kira jam 3 petang hari ini.

Identiti mayat tiga mangsa yang ditemui belum dikenal pasti.

Terdahulu, media melaporkan lima lelaki termasuk tekong hilang, manakala seorang lagi terselamat selepas bot dinaiki mereka karam pada jarak 10 batu nautika dari Pulau Redang, Isnin lalu.

Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 dikatakan keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli dilaporkan berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan jam 2 petang mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan bot berkenaan.

Katanya, bot Maritim Perkasa 1234 digerakkan ke kawasan bot yang dilaporkan karam iaitu pada jarak kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Redang.

"Seorang daripada lima mangsa iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat, manakala lima yang lain masih hilang," katanya.

Difahamkan, mayat akan dibawa ke jeti Maritim di Pulau Kambing, di sini, sebelum di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 4:15 PM