Kaapal KM BAGAHAK melakukan rondaan dalam operasi CARILAMAT dua nelayan hilang di perairan Pulau Redang. FOTO IHSAN MARITIM
Kaapal KM BAGAHAK melakukan rondaan dalam operasi CARILAMAT dua nelayan hilang di perairan Pulau Redang. FOTO IHSAN MARITIM
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Operasi carilamat mengesan dua lagi nelayan hilang dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Redang Isnin lalu menumpukan pencarian melalui laut hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Ramli, berkata keluasan pencarian diperkecilkan hanya merangkumi 37.80 batu nautika merangkumi sektor laut.

Katanya, jumlah aset yang diatur gerak adalah lima termasuk kapal KM Bagahak, bot Jabatan Perikanan dan tiga bot nelayan tempatan dengan kekuatan seramai 67 orang termasuk 18 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita tangguhkan pencarian melalui udara menggunakan pesawat AW139 hari ini dan menumpukan kepada pengesanan serta pencarian melalui laut," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, bot dinaiki enam nelayan karam akibat dipukul ribut ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing dan memasang bubu di perairan Pulau Redang, kira-kira jam 10 malam.

Seorang daripada mereka, Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, terselamat selepas berpaut pada penutup tong ikan dan pelampung bubu serta berenang selama 14 jam meminta bantuan.

Tiga lagi mangsa iaitu Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemui lemas di lokasi berbeza sekitar 1.7 batu nautika dari Pulau Redang antara jam 11 pagi hingga 1. 30 tengah hari Rabu lalu.

Dua lagi nelayan yang masih hilang adalah Ahmad Zamri Ishak, 66 dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:42 AM