Mohamed Farid Noh dan Togi Marzuki

Pontian: Kesemua 13 mangsa tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang di sini, dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan mengapungkan diri dengan pelampung sejak 12 tengah malam tadi.

Bagaimanapun, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, hanya tujuh mangsa membabitkan dua tekong warga Indonesia dan lima mangsa wanita yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) terselamat, manakala enam lagi ditemukan lemas.

Menurutnya, antara tujuh yang terselamat itu adalah seorang mangsa wanita kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Amaninah (HSA) Johor Bahru.

Sementara itu, seorang mangsa wanita berjaya diselamatkan selepas terapung lebih 13 jam dengan berpaut pada mayat dua rakannya.

Wanita itu ditemukan pada 1 tengah hari ini, bersama enam lagi mangsa yang lemas dalam jarak kira-kira 3.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke Jeti Persatuan Nelayan Pontian Besar pada 2.30 petang dengan menaiki bot APMM.

Difahamkan, wanita yang dikenali sebagai Anita itu mahir berenang dan dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menunggu di jeti itu, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dia kemudiannya diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pontian Besar yang terletak di sebelah jeti itu untuk berehat.

Berita berkaitan

Bot karam: 6 Pati ditemukan lemas, 6 selamat dan seorang kritikal [METROTV]

7 Pati hilang, bot pancung karam [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:18 PM
Anggota APMM membawa mangsa yang ditemukan selamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar, Pontian hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan
Anggota APMM membawa mangsa yang ditemukan selamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar, Pontian hari ini. Foto Nur Aisyah Mazalan