Oleh Zharif Zhafri Aziz Desa


Kuala Lumpur: RM40,000. Itu bayaran dikenakan 'orang tengah' kepada pasangan suami isteri yang mahu mendapatkan bayi untuk dijadikan anak angkat dengan kadar segera.

Menurut sumber, 'jalan pintas' itu adalah saluran pilihan pasangan suami isteri yang segera mahukan anak angkat tanpa perlu melalui prosedur asal yang diketahui umum akan mengambil tempoh lama.

Naib Yang Dipertua Persatuan Pekerja Sosial Malaysia, Amy Bala berkata, pihaknya tidak menafikan wujudnya kegiatan berkenaan secara tidak sah disebabkan pasangan yang terdesak mahukan anak.

Ada (orang tengah) yang bantu dengan mengenakan pelbagai caj termasuk yuran proses tetapi ada juga akan caj terus RM30,000...
RM40,000. Sebab terdesak nak ada anak, mereka pun ambil," katanya.

Menurutnya, proses pengambilan anak angkat yang salah akan mengundang pelbagai masalah.

"Beberapa kes pernah dilaporkan, ada individu atau pasangan yang mendapat bayi mempunyai masalah kesihatan serta dokumen pengambilan anak angkat yang dipalsukan.

"Bila hendak daftar untuk mohon kad pengenalan, akan alami banyak masalah dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau perlu ke mahkamah semula. Itu belum lagi kes yang sudah jelaskan bayaran, tetapi bayi tak kunjung tiba," katanya.

Amy berkata, prosedur sebenar pengambilan anak angkat agak rumit bagi menjamin kebajikan dan masa depan kanak-kanak berkenaan di bawah jagaan keluarga angkat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata, masyarakat yang mahu mengambil anak angkat menerusi khidmat orang tengah perlu memastikan semua dokumen lengkap dan sah.

Menurutnya, jika anak itu mempunyai ibu bapa kandung, perlu ada surat izin dari pasangan terbabit untuk menyerahkan anak itu kepada individu berkenaan.

"Kita (JKM) nak ibu bapa pelihara yang mahukan anak angkat itu melalui proses betul daripada peringkat awal lagi. Perlu mendapatkan dokumen lengkap dan sah bagi membolehkan kanak-kanak itu bersekolah serta membesar seperti kanak-kanak lain.

"Seksyen 35 Akta Kanak-Kanak memperuntukkan mana-mana individu yang ingin mengambil anak angkat perlu melaporkan kepada JKM memandangkan dalam tempoh dua tahun bayi yang diambil dikategorikan sebagai anak pelihara.

"Menerusinya ia membolehkan proses penilaian dibuat selepas dua tahun termasuk mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk bayi berkenaan sah menjadi anak angkat kepada individu atau pasangan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 8:02 AM