HALIMATON (kanan) dan Pengarah JKM Kedah, Azmi Abdul Karim masing-masing mendukung bayi perempuan yang ditinggalkan ibu kandung yang kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
HALIMATON (kanan) dan Pengarah JKM Kedah, Azmi Abdul Karim masing-masing mendukung bayi perempuan yang ditinggalkan ibu kandung yang kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


DUA bayi perempuan yang ditinggalkan di Kuala Muda dan Alor Setar kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan, Kubang Pasu bagi proses dokumentasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Kedah Halimaton Shaadiah Saad berkata, kedua-dua bayi berusia 30 hari dan sembilan hari itu dalam proses permohonan untuk mendapatkan ibu pelihara.

Menurutnya, bayi pertama yang ditemui di Kampung Sungai Sedaka, Kota Kuala Muda pada 9 pagi 28 Mei lalu diberi nama Aliyah Amal kini memiliki berat tiga kilogram (kg).

"Bayi kedua pula diberi nama Nadia Amal ditemui di hadapan rumah di Kampung Sakan, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar pada 28 Jun lalu," katanya pada sidang media di Taman Sinar Harapan, Kubang Pasu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Azmi Abdul Karim.

Halimaton Shaadiah berkata, kedua-dua bayi ini sebelum ini menerima rawatan di hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Katanya, kedua-dua bayi itu dalam keadaan sihat dan mendapat Perintah Jagaan Sementara (satu bulan) mengikut Perenggan 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016.

"JKM menerima banyak permohonan untuk mendapatkan hak permohonan keluarga pelihara (angkat) untuk dua bayi berkenaan.

"Selepas dua minggu siaran akhbar dan tiada pihak tampil, maka pelindung kanak-kanak JKM akan meneruskan proses meletakkan dua bayi itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan ibu atau bapa pelihara yang sesuai," katanya.

Katanya, orang ramai atau ahli keluarga bayi itu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JKM di talian 04-7001700.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 5:14 PM