WANITA berkahwin yang mengalami masalah reproduktif boleh dipertimbangkan untuk mengambil anak pelihara.
WANITA berkahwin yang mengalami masalah reproduktif boleh dipertimbangkan untuk mengambil anak pelihara.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 peratus bayi dibuang yang ditemui didapati meninggal dunia dan hanya 36 peratus bayi malang itu bernasib baik masih hidup.

Angka diperoleh ini berdasarkan analisis statistik kes buang bayi dikumpulkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara Januari 2014 hingga Disember 2018 membabitkan 577 kes.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zulkifli Ismail berkata, nasib bayi malang yang hidup itu diberi perhatian sewajarnya oleh JKM yang mengendalikan 65 institusi kebajikan seluruh negara.

Menurutnya, bayi yang masih hidup diberikan rawatan, ditempatkan di pusat jagaan JKM serta diuruskan proses dokumentasi dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, nasib bayi itu terus dibela apabila 213 bayi ditawarkan kepada ibu bapa angkat sejak 2013 hingga 2018.

Bagaimanapun, individu yang berminat mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat perlu memenuhi syarat ketat. Antaranya, permohonan anak pelihara (anak angkat) adalah warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia, berusia 25 hingga 60 tahun dan pasangan sudah berkahwin secara sah (5 tahun ke atas).

“Namun bagi perkahwinan kurang lima tahun dan mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif atau kesihatan yang menyukarkan proses kehamilan atau perkahwinan pada usia yang lewat juga boleh dipertimbangkan permohonannya.

“Pemohon bujang boleh dipertimbangkan dan perbezaan umur antara pemohon dan kanak-kanak mestilah melebihi 21 tahun. Pemohon lelaki bujang dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja sebagai anak angkat,” katanya.

Menurutnya, pemohon perlu ada pendapatan dan mampu menyara kehidupan keluarga, sihat dari segi mental serta fizikal, bebas daripada rekod jenayah, termasuk mampu menyediakan tempat tinggal sesuai dan selamat untuk kanak-kanak.

“Individu atau pasangan yang berminat perlu membuat permohonan dengan mengisi dan menghantar dokumen diperlukan kepada JKM.

“Permohonan anak pelihara melalui JKM adalah percuma dan tiada bayaran dikenakan kepada pemohon yang ditawarkan anak pelihara,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, 577 kes pembuangan bayi dan janin direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Rekod menunjukkan 103 kes buang bayi atau janin berlaku pada 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018).

Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 135 kes dalam tempoh lima tahun diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

Sementara itu, Perlis mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi terendah iaitu tujuh kes diikuti Terengganu (12 kes) dan Melaka (13 kes).

Daripada jumlah itu, 435 bayi dibuang didapati baru dilahirkan manakala 142 lagi dalam bentuk janin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:30 AM