Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Individu yang mendapatkan sijil vaksinasi palsu ditawarkan sebuah klinik swasta di Marang di sini, hanya disuntik dengan air suling atau air garam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, maklumat itu diperoleh pihaknya daripada keterangan 23 individu yang mendapatkan perkhidmatan daripada doktor di klinik berkenaan.

Beliau berkata, mereka mengaku tidak menerima suntikan vaksin Covid-19 namun status di aplikasi MySejahtera mereka dikemas kini sebagai penerima vaksin.

"Ada antara mereka memaklumkan mengambil suntikan air suling atau air garam kerana nak menunjukkan kononnya ada kesan (suntikan).

"Ia bagi meyakinkan orang kononnya sudah mengambil suntikan sedangkan suntikan yang diterima bukan vaksin Covid-19 sebaliknya air garam atau air suling," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi Md Isai. FOTO GHAZALI KORI
Rohaimi Md Isai. FOTO GHAZALI KORI

Rohaimi berkata, pihaknya turut mendapat maklumat ada dalam kalangan penjawat awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang perseorangan dikesan mendapatkan perkhidmatan daripada doktor berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.

Media sebelum ini melaporkan Polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa penahanan doktor swasta yang juga suspek utama berusia 51 tahun pada 8 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:57 PM