Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Doktor sebuah klinik swasta di Marang yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan pendakwaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tempoh tahanan reman terhadap lelaki berusia 51 tahun yang juga suspek utama kes itu berakhir esok.

Beliau berkata, suspek akan diberi jaminan polis sementara menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.

"Siasatan berjalan lancar di mana Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu akan menguruskan siasatan lanjut di mana barang-barang kes yang dirampas seperti komputer riba dan telefon bimbit akan dihantar kepada Bahagian Forensik JSJK Bukit Aman.

"Insya-Allah, barang-barang kes itu akan dihantar ke sana esok," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa semasa sidang media pada majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.  FOTO GHAZALI KORI
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa semasa sidang media pada majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Terdahulu, Rohaimi menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu antara Senior Asisten Komisioner Norhalid Kimi yang bersara dan Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.

Sebelum ini, suspek yang ditahan pada Sabtu lalu direman selama tiga hari sehingga semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, polis memohon lanjutan reman terhadap suspek sebelum Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan reman suspek ditambah dua hari lagi sehingga esok.

Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:07 PM