LONG Tiger. FOTO ihsan polis
LONG Tiger. FOTO ihsan polis
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Lelaki Rohingnya dikenali sebagai 'Long Tiger' atau nama sebenarnya Abd Hamim Ab Hamid, 33, yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, sudah ditahan polis tengah hari tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ketika dihubungi hari ini mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.

"Ya benar, Long Tiger sudah ditangkap.

"Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan mengadakan sidang media khas berhubung perincian tangkapan pada jam 12 tengah hari esok," katanya.

Difahamkan Long Tiger yang menjadi buruan polis sejak 13 hari lalu ditahan di utara Semenanjung.

Media sebelum ini melaporkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mendapatkan bantuan daripada beberapa IPD berhampiran bagi mengesan Long Tiger yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak.

Peguam mewakili Long Tiger, Datuk Shaharudin Ali turut menarik diri daripada mewakili lelaki itu.

"Sebagai peguam bela, kami merasai Ab Hamim sudah melarikan diri ketika perjalanan prosiding kes dan ini mencerminkan beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami, selain tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung," katanya.

Selain itu, dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan kecuaian yang menyebabkan tahanan itu melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:31 PM