Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid.
Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Majistret Tangkak hari ini melepas tanpa membebaskan Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, daripada tuduhan peras ugut yang dihadapinya, tahun lalu.

Peguamnya, Datuk Shaharudin Ali memaklumkan, perintah itu dibuat Majistret Zaridah Abdul Jaapar selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung kematian saksi utama pendakwaan, Luqman Haqeem Otman ketika pertengahan proses perbicaraan kes itu.

"Pihak pembelaan belum menyelesaikan pemeriksaan terhadap saksi itu," katanya dalam kenyataan di Muar, hari ini.

Beliau berkata, pada prosiding hari ini, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Shaharudin dan Azfar Azmi.

Terdahulu, Long Tiger, 33, dikenali sebagai penjenayah paling dikehendaki selepas terbabit dalam beberapa jenayah seperti pemerasan, rogol serta mengurung dan mengugut bekas pekerjanya.

Dia terus menjadi perhatian umum selepas didakwa meloloskan diri daripada tahanan lokap mahkamah ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk menghadapi perbicaraan kes pemerasan berkenaan, kira-kira jam 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

Lelaki etnik Rohingnya itu kemudian berjaya diberkas polis di Sungai Petani, Kedah pada 28 Disember 2021 dan pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak selepas didakwa dengan pertuduhan melarikan diri daripada tahanan mahkamah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 11:08 PM