Peguam, Datuk Shaharudin Ali.
Peguam, Datuk Shaharudin Ali.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peguam Datuk Shaharudin Ali menarik diri daripada mewakili lelaki Rohingya, Ab Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai Long Tiger yang kini menjadi buruan polis.

Shaharudin berkata, beliau yang juga Peguambela dan Peguamcara bagi Shaharudinali Azfarazmi & Co, sebelum ini dilantik mewakili Ab Hamim dalam beberapa kes jenayah dan sivil lelaki itu yang sedang berjalan.

"Kami dengan berat hati terpaksa menarik diri sebagai peguambela Ab Hamim dalam kes-kes berkenaan kerana mengalami masalah untuk mendapatkan arahan seterusnya daripada anak guam bagi maksud perjalanan kes yang membabitkan dirinya.

"Sebagai peguambela, kami juga merasai, Ab Hamim telah melarikan diri semasa perjalanan prosiding kes beliau dan ini mencerminkan bahawa dia tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami selain tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

"Namun begitu, Ab Hamim mungkin mempunyai sebab sebab tertentu mengapa dia mengambil tindakan sedemikian dan tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan mahkamah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan orang ramai diminta tampil membantu polis mengesan Abd Hamim, 33 tahun yang juga warga Myanmar selepas meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah berkenaan dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar, melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, kira-kira jam 11.55 pagi.

Minggu lalu, Shaharudin dilaporkan mendakwa terkejut dengan insiden anak guamnya itu meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak selain dilaporkan mendakwa anak guamnya itu menerima ugutan untuk mencederakan atau membunuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:30 PM