Muhamad Firdaus ketika menjadi jurusolek ketika perkahwinan pertama Norsuhana. (Gambar kanan) Kenangan gambar perkahwinan mereka. Foto Ihsan Muhamad Firdaus Rubae
Muhamad Firdaus ketika menjadi jurusolek ketika perkahwinan pertama Norsuhana. (Gambar kanan) Kenangan gambar perkahwinan mereka. Foto Ihsan Muhamad Firdaus Rubae
Murnaena Muhammad Nasir

Batu Pahat: "Siapa sangka dulu dia pelanggan yang saya mekap ketika perkahwinan pertamanya tetapi kini dia adalah isteri dan ibu kepada anak-anak saya," kata Muhamad Firdaus Rubae.

Muhamad Firdaus, 34, memberi reaksi itu selepas perkongsiannya mengenai cerita jodoh yang tidak disangka bersama isterinya, Norsuhana Othman, 36, tular dan mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok.

Menerusi perkongsian itu, Muhamad Firdaus turut memaklumkan perkahwinan pertama isterinya hanya bertahan satu tahun sebelum bernikah dengannya pada 11 April 2014.

Menurutnya, dia bersyukur usia rumah tangganya sudah masuk tujuh tahun dan mempunyai dua cahaya mata yang berusia lima dan tujuh tahun.

"Sebenarnya, kami kawan baik sebelum ini dan saya anggap dia seperti keluarga angkat kerana tinggal sekampung. Kami juga bekerja bersama sebagai 'wedding planner'.

"Perkongsian di TikTok itu pula hanya ingin mengimbau kenangan lalu tetapi tak sangka pula boleh tular," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhamad Firdaus dan Norsuhana bersama dua anak mereka. Foto Ihsan Muhamad Firdaus Rubae
Muhamad Firdaus dan Norsuhana bersama dua anak mereka. Foto Ihsan Muhamad Firdaus Rubae

Bercerita lanjut, Muhamad Firdaus berkata, setahun sebelum perkahwinannya, dia pernah berdoa ketika menunaikan umrah pada 2013 agar bertemu jodoh yang baik dan tidak sangka pasangannya itu adalah isterinya sekarang.

"Saya orang pertama yang dia beritahu masa cerai dulu, ketika itu dalam hati terdetik juga kemungkinan kami mempunyai jodoh.

"Saya pula pemalu orangnya dan dialah yang sebenarnya mulakan dulu langkah," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Dia yang juga pemilik perkhidmatan perancang perkahwinan, DamaiReka berkata, selepas berkahwin dia berhenti menjadi jurusolek dan hanya menguruskan bahagian pelamin serta perancang majlis.

Sementara itu, Norsuhana pula berkata, dia terkejut apabila perkongsian yang dimuat naik suaminya tular di media sosial dan berharap warganet menganggap ia suatu yang positif.

"Dulu, saya bercerai pun dengan cara baik jadi dalam perkahwinan yang kedua ini, pastinya saya harap jodoh kami kekal sampai syurga.

"Setiap pasangan tidak sempurna, jadi kami masing-masing main peranan melengkapi antara satu sama lain dan berusaha bersama-sama untuk kekal bahagia," katanya yang kini bekerja bersama suaminya sebagai perunding perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:01 PM