Gambar Norliza menjadi pengubat kesepian Muhamad Hamidi di Singapura. Foto Ihsan Muhamad Hamidi Fikri Amran
Gambar Norliza menjadi pengubat kesepian Muhamad Hamidi di Singapura. Foto Ihsan Muhamad Hamidi Fikri Amran
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Semalam hari ulang tahun pertama perkahwinan saya dan isteri, namun agak menyedihkan kerana kami tidak dapat bertemu sebaliknya hanya meraikannya menerusi panggilan video," luah tukang masak, Muhamad Hamidi Fikri Amran.

Muhamad Hamidi, 28, bekerja di Jurong, Singapura, manakala isterinya pula, Norliza Borhan, 31, bertugas sebagai pensyarah sebuah kolej dan menetap di Sarikei, Sarawak.

Pasangan suami isteri itu terpisah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Sepanjang lapan bulan, mereka hanya dapat berhubung menerusi kiriman WhatsApp dan panggilan video saja.

Berkongsi pengalaman itu, Muhamad Hamidi berkata, bukan mudah untuk dia dan isterinya menjalin hubungan jarak jauh lebih-lebih lagi apabila sudah terpisah empat bulan selepas berumah tangga.

Menurutnya, dia mengakui terpaksa akur dengan peraturan dan prosedur ditetapkan kedua-dua buah negara

dalam menangani pandemik yang belum reda.

"Sejak berkahwin, kami tidak pernah tinggal sebumbung kerana saya menetap di Johor Bahru untuk berulang-alik ke tempat kerja di Singapura, manakala isteri menyewa bersama rakannya di Sarawak.

"Pada awal perkahwinan, kami tetap akan tetap cuba mencari masa untuk bertemu walaupun tinggal berjauhan.

"Namun, Covid-19 mengubah segalanya hingga kami terpisah sejak lapan bulan lalu kerana penguatkuasaan larangan merentas negara dan 8 Mac lalu adalah kali terakhir saya dan isteri bertemu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhamad Hamidi dan Norliza terpisah sejak Mac lalu selepas PKP dilaksanakan. Foto Ihsan Muhamad Hamidi Fikri Amran
Muhamad Hamidi dan Norliza terpisah sejak Mac lalu selepas PKP dilaksanakan. Foto Ihsan Muhamad Hamidi Fikri Amran

Mengikut perancangan, Muhamad Hamidi mahu menyewa rumah sendiri di Johor Bahru untuk kemudahan isterinya datang dari Sarawak tetapi hasratnya itu terbantut kerana pandemik Covid-19.

Kini, Muhamad Hamidi tiada pilihan kecuali menyewa bersama rakan sekerjanya.

"Saya berada di Singapura sejak 17 Mac iaitu sehari sebelum PKP dan sangkakan larangan merentas negara hanya berkuat kuasa selama dua minggu.

"Tak sangka pula ia berlarutan hingga kini, saya terpaksa menyewa di sebuah asrama dalam sebuah hotel di Chinatown dengan bayaran bulanan 540 dolar Singapura (kira-kira RM1,646).

"Keadaan ini membuatkan saya tertekan hingga masa timbul keinginan untuk berhenti kerja tetapi keputusan itu tidak mudah kerana sudah tiga tahun bekerja di sini," katanya.

Muhamad Hamidi terus berdoa semoga pandemik Covid-19 reda supaya dia dapat bertemu isteri dan keluarganya selepas sekian lama terpisah.

"Pandemik ini benar-benar menguji saya kerana turut berjauhan dengan keluarga di Temerloh, Pahang begitu juga dengan isteri yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

"Saya faham, bukan hanya saya tetapi ramai lagi rakyat Malaysia di sini mengalami nasib sama apabila terpaksa berjauhan dengan insan tercinta demi mencari rezeki.

"Ini hakikat terpaksa diterima selagi Covid-19 belum reda dan diharapkan kerajaan kedua-dua negara dapat melakukan yang terbaik dalam membantu kami di sini," katanya.

Kisah Muhamad Hamidi mendapat perhatian warganet selepas dia memuat naik luahan di Facebook (FB) Malaysia-Singapore Border Crossers, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 8:00 PM