MUHAMAD Firdaus menceritakan pertemuan dengan isteri Siti Fatimah melalui Instagram sehingga tular di media sosial. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim
MUHAMAD Firdaus menceritakan pertemuan dengan isteri Siti Fatimah melalui Instagram sehingga tular di media sosial. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim
Amirul Haswendy Ashari.


KALAU sudah dikatakan jodoh, tidak wujud istilah ‘perigi mencari timba’.

Itulah kisah dikongsikan Muhamad Firdaus Ibrahim, 23, yang lumpuh bertemu isterinya, Siti Fatimah Mohd Nor, 25, dan sudah berkahwin pada 17 Ogos lalu.

Meskipun Muhamad Firdaus ditakdirkan hidup berkerusi roda akibat kemalangan, ia bukan halangan buat Siti Fatimah untuk ‘melamarnya’ membina rumah tangga bersama.

Kisah pertemuan cinta mereka dikongsikan Muhamad Firdaus melalui ciapan di Twitternya, @zafidos yang mendapat lebih 11,200 perkongsian dan 17,500 tanda suka sejak dimuat naik, tengah hari semalam.

“Kami berkenalan pada Disember 2017 melalui Instagram. Dia yang tegur saya dulu. Jadi dari situ kami berkenalan , memang dia terus cakap nak berkenalan secara serius.

“Saya belum ada perasaan pada dia waktu itu, cuma saya suka ‘effort’ (usaha) dia. Saya cakap kalau nak kenal, datanglah KL (Kuala Lumpur).

“Tengok depan-depan fizikal saya terlebih dulu, baru boleh kenal,” kata Muhamad Firdaus yang menggunakan kerusi roda kerana lumpuh dari paras pinggang ke kaki akibat nahas motosikal ketika berusia 16 tahun, pada 2012.

Muhamad Firdaus yang juga atlet paralimpik negara dalam sukan tenis, teruja apabila Siti Fatimah yang ketika itu sedang menuntut tahun akhir di sebuah universiti tempatan, sanggup datang dari Gambang menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata mahu berjumpanya.

Dalam pada itu, Muhamad Firdaus ketika dihubungi Harian Metro, turut mendedahkan mengalami masalah kemurungan, yang kadang-kala membuatkan dia mahu berasingan dari masyarakat dan memilih untuk bersendirian.

“Saya ada jumpa pakar psikologi mengenai masalah kesihatan mental saya ini. Saya pernah beberapa kali cuba membunuh diri.

“Pernah disebabkan terlalu murung, saya tidur di tepi jalan di Bukit Bintang sendirian.

“Tapi sejak perkenalan dengan isteri, dia banyak memberi ketenangan melalui kata-kata positif, yang menjadi salah satu sebab saya mahu bersamanya.

“Setiap kata-kata positif, sokongan dan dorongan isteri selalu merangsang minda saya untuk jadi lebih sihat,” katanya.

MUHAMAD Firdaus ketika majlis perkahwinan bersama Siti Fatimah pada 17 Ogos lalu. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim
MUHAMAD Firdaus ketika majlis perkahwinan bersama Siti Fatimah pada 17 Ogos lalu. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim

Menurut Muhamad Firdaus, selepas setahun perkenalan, mereka mula merancang untuk berkahwin pada awal tahun ini.

Bagaimana pun, anak ke-5 dari enam adik beradik berasal dari Perak ini berdepan kesukaran kerana ada antara ahli keluarga isterinya kini, sukar menerima kehadirannya sebagai orang baru dalam keluarga.

“Pada awal mereka sukar menerima saya, mungkin sebab fizikal saya yang berkerusi roda.

“Namun Alhamdulillah, Allah lembutkan hati mereka untuk menerima saya dan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga,” kata Muhamad Firdaus.

Dalam pada itu, dia mengakui tidak terkejut apabila ciapannya mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Menurutnya, dia tahu permainan di Twitter terutama apa perkara sesuai dikongsi di laman sosial itu.

“Daripada apa yang saya tahu, ada benda yang sesuai dikongsi di Twitter, ada benda lain sesuai dikongsi di Instagram dan Facebook.

“Untuk 'posting' (ciapan) ini, saya sudah menjangka akan 'meletup' di Twitter. Kalau di IG atau FB, mungkin ia akan berakhir di sana. Kuasa Twitter ini memang 'gila'!”, katanya.

Malah secara berseloroh, oleh kerana ciapan Twitternya mendapat perkongsian yang sudah mencecah beribu, mungkin ada pihak yang sudi menaja pakaian pengantin atau pelamin untuk majlis persandingan mereka pada Disember depan.

Apa sekali pun, yang penting adalah dia hanya mahu berkongsi kisah sendiri yang diharap dapat memberi manfaat yang positif kepada masyarakat.

MUHAMAD Firdaus dan Siti Fatimah bergambar kenangan bersama keluarga selepas majlis perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim
MUHAMAD Firdaus dan Siti Fatimah bergambar kenangan bersama keluarga selepas majlis perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Muhamad Firdaus Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:18 PM