Azizulhasni Awang.
Azizulhasni Awang.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Di antara 10 sukan yang membabitkan penyertaan 30 alet negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini, berbasikal trek tampak paling mencuri tumpuan.

Di situ wujudnya nama Azizulhasni Awang, atlet yang menjadi sandaran utama untuk menamatkan penantian seluruh rakyat Malaysia selama ini iaitu pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Jaguh trek negara yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu bukanlah asing di temasya sukan terbesar dunia apabila bakal membuat penampilan kali keempat selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Meraih gangsa di Rio, Azizul diharap mampu menukar warna itu kepada emas dan dia sendiri mengakui memberi fokus dalam acara keirin selain berpeluang juga untuk meraih pingat menerusi acara pecut.

Tumpuan mula terarah kepada Azizul selepas bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan pada Jun 2019 kerana masalah kesihatan.

Chong Wei sudah mencuba sehabis baik dan tiga perak yang disumbangkan di Olimpik sepanjang mengerah keringat untuk kontinjen negara membuktikan kesungguhannya.

"Saya sudah mewakili negara seawal 2005 sehinggalah sekarang. Saya menghabiskan hampir kebanyakan masa saya demi negara.

"Sebaik Datuk Lee Chong Wei bersara, ada yang meletakkan tanggungjawab itu (meraih pingat emas) di bahu saya. Daripada perlu menyembunyikan diri, saya ambil langkah menyahut cabaran dan tanggungjawab itu.

"Kami bekerja keras. Bagi saya, persediaan dan latihan adalah terbaik setakat ini dan saya sangat gembira dengan apa yang sudah dilakukan selama ini.

"Saya akan berikan segala-galanya untuk negara dan apa juga keputusannya nanti, saya tidak akan pernah menyesal," kata Azizul ketika sesi bersama media, baru-baru ini.

Dengan ramuan jurulatih yang setia bersamanya, John Beasley, Tokyo bakal menyaksikan kemuncak prestasi karier Azizul yang mungkin akan dikenang selaku wira sepanjang zaman sekiranya memenangi emas pertama.

Semangat luar biasa Azizul tidak perlu dipertikaikan dan dia sudah membuktikannya sejak 10 tahun lalu lagi apabila masih meneruskan kayuhan meskipun kakinya tertusuk serpihan kayu trek pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester.

Namun ketika nama Azizul kuat dilaungkan, jangan pula melupakan satu lagi sandaran negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang bakal membuat penampilan kali pertama di Olimpik.

Layak beraksi menerusi acara keirin dan pecut, kemampuan Shah tidak boleh diragui kerana dia juga pernah mengatasi Azizul sebelum ini dan tidak mustahil mampu melakar kejutan di Tokyo."

Ini adalah pengalaman pertama saya di Olimpik dan saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri. Sudah pasti saya juga mahu memberikan yang terbaik untuk negara," katanya.

Strategi berbeza

B ukan satu atau dua, sebaliknya sedozen 'musuh' Azizulhasni Awang sudah dikenal pasti mampu menggugat impian jaguh trek berbasikal negara itu untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo.

Demikian pandangan jurulatihnya, John Beasley yang sudah lama mengenal pasti dan menganalisis lawan bakal ditemui Azizul apabila beraksi di Velodrom Izu bermula 2 Ogos ini.

Ketika nama jaguh Jepun, Yuta Wakimoto serta bintang Belanda, Harrie Lavreysen disebut-sebut sebagai pencabar utama The Pocket Rocketman, Beasley melihat sudut yang lebih luas.

"Kami sudah mengenal pasti hampir sedozen. Kami sudah mengkaji kekuatan mereka dan kekuatan kami. Begitu juga kelemahan kami dan kelemahan mereka serta strategi berbeza yang perlu diterapkan.

"Kami tidak boleh mengawal persiapan lawan dan tidak tahu bagaimana prestasi mereka nanti. Apa yang kami boleh lakukan adalah melakukan persiapan terbaik untuk diri sendiri," katanya.

Jelas Beasley, setiap mereka yang layak beraksi di Olimpik adalah pencabar utama dan untuk itu, Azizul serta seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom perlu sentiasa berada di tahap terbaik.

"Kami menghormati semua peserta. Jika anda mempunyai rasa hormat yang berbeza, anda boleh ditewaskan oleh mereka. Setiap yang layak beraksi di Olimpik adalah antara terbaik di dunia," katanya.

Wakimoto ketika ini menduduki ranking pertama Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk acara keirin manakala Lavreysen sudah memenangi enam kejuaraan dunia.

Juara bertahan, Jason Kenny dari Britain dilihat tidak begitu menonjol sejak meraih tiga emas di Rio namun dia dikenali mampu mempamerkan prestasi terbaik apabila beraksi di kejohanan besar.

Kenny ketika ini meraih enam pingat emas di Olimpik, sama seperti yang diraih Chris Hoy dan sudah pasti mahu memastikan dapat menambah koleksi emas di Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:50 AM