AZIZULHASNI menjalani latihan angkat berat di gimnasium pada fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI menjalani latihan angkat berat di gimnasium pada fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung pada 21 April lalu. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dijangka kembali menggegar trek buat kali pertama pada Disember ini selepas menjalani pembedahan jantung, April lalu.

Bagaimanapun, jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley mengingatkan semua pihak agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepadanya kerana Azizul memerlukan masa untuk mencapai kemuncak prestasi.

"Ia adalah sebahagian daripada proses dan akan mengambil sedikit masa. Tapi saya yakin Azizul mampu mencapai kembali prestasi terbaik menjelang Sukan Asia Hangzou (September tahun depan) jika tiada sebarang halangan.

"Proses pemulihan Azizul berjalan dengan baik dan seperti dirancang. Kami sentiasa berhubung dengan Dr Jeswant (Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon) yang membantu Azizul sepanjang proses pemulihannya.

"Azizul secara perlahan-lahan menunjukkan peningkatan sehingga tahap apabila dia kini hampir kembali menjalani sesi latihan penuh," katanya ketika dihubungi.

Beasley berkata, Azizul akan mula beraksi di perlumbaan UCI kelas 1 untuk acara keirin dekat Melbourne pada 17 Disember sebelum disusuli perlumbaan peringkat sama dalam acara keirin di New Zealand pada bulan berikutnya.

Katanya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu kemudian akan beraksi di Piala Negara-Negara di Jakarta dari 23 sehingga 26 Februari tahun depan.

"Prestasinya mungkin agak berkarat dan kurang sempurna.

"Tapi Azizul perlu kembali beraksi dan mengumpul mata kerana kedudukan rankingnya kini sudah jatuh," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Azizul memberi bayangan akan kembali beraksi selepas berehat panjang berikutan disahkan mengalami masalah jantung dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Dia yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman selamat menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 6:18 PM