CHONG Wei yakin Azizulhasni mampu meraih emas di Paris 2024. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
CHONG Wei yakin Azizulhasni mampu meraih emas di Paris 2024. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara, Datuk Lee Chong Wei mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak pada Olimpik Tokyo kali ini.

Jelas bekas jaguh perseorangan lelaki negara itu, Azizul yang dianggap sebagai adiknya sudah mempamerkan aksi terbaik meskipun tidak kesampaian untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara.

"Berdebar satu Malaysia menyaksikan pecutanmu. Bersorak satu Malaysia apabila mu menerjah untuk mendapatkan perak.

"Berbangga satu Malaysia melihat bendera dikibarkan. Terima kasih kerana menyatukan kita. Gangsa dan perak u (awak) dah ada. I (saya) yakin emas dalam genggaman di Paris nanti," tulisnya di platform media sosial miliknya yang mengharapkan Azizul dapat beraksi di Olimpik Paris 2024.

Pada Olimpik Rio 2016, Azizul meraih gangsa, juga menerusi acara keirin. Pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu sudah beraksi empat edisi Olimpik sejak Beijing 2008.

Aksi final hari ini menyaksikan Azizul berjuang habis-habisan untuk meraih perak dan hanya tewas kepada pelumba Britain, Jason Kenny yang menggunakan strategi memecut lebih awal meninggalkan barisan pelumba lain.

Sementara itu, Chong Wei sempat bergurau dengan Azizul apabila mempersoalkan mengenai raut muka Kenny yang dilihat jauh lebih tua berbanding Azizul.

"Bro, u (awak) sama umur dengan Jason Kenny tu. Tapi kenapa u nampak jauh lagi muda. Apa ramuan bro?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 1:59 PM