RABIATUL (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.
RABIATUL (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Bagaikan mati hidup semula. Itu yang dialami bekas pesakit Covid-19 yang pernah bertarung nyawa apabila virus itu merebak dalam badan mereka hingga tergolong dalam kategori lima atau paling kritikal.

Untuk rekod, ada lima tahap jangkitan Covid-19 iaitu pertama (tidak menunjukkan sebarang jangkitan), kedua (bergejala ringan, tiada radang paru-paru), ketiga (bergejala, mengalami radang paru-paru), keempat (bergejala, mengalami radang paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen) dan kelima (bergejala kritikal, memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) hospital).

Wartawan Harian Metro, Amir Abd Hamid mendapatkan kisah pesakit yang pernah mengalami penderitaan akibat tergolong dalam tahap lima sebelum kembali sembuh.

Kisah 1

Transit barzakh. Itu tajuk coretan bekas pesakit Covid-19 yang menderita melawan virus itu selama 42 hari selepas mendapat keputusan ujian calitan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) positif Covid-19 pada 20 Januari lalu.

Dugaan Rabiatul Adawiah, 34, sewaktu bertarung nyawa berperang dengan virus pandemik sememangnya sangat berat terutama dia pada waktu itu sedang sarat mengandung.

Lebih sayu pada 27 Januari lalu ketika mesin alat bantuan pernafasan masih dipakainya, wanita tabah itu meminta sekeping kertas dan pen untuk merayu doktor merawat supaya melakukan pembedahan mengeluarkan dan menyelamatkan bayi dalam kandungannya.

"Saya mohon pada doktor untuk dibuka ikatan tangan dan kaki saya (sekali lagi). Saya yakinkan doktor saya boleh kawal diri saya, saya minta pen dan kertas.

"Saya tulis, doktor...saya merayu...tolong czer saya...selamatkan anak saya."

"Sambil doktor baca pesanan saya itu, sambil saya tunjuk isyarat potong perut, tepuk-tepuk perut saya," katanya menerusi perkongsian di Facebook (FB).

Menurutnya, pada waktu itu dia melekapkan kedua-dua belah tangannya merayu meminta pengertian doktor di situ supaya menyelamatkan bayi dalam kandungannya.

Tidak lama selepas itu, katanya, tiga pakar iaitu doktor pakar unit rawatan rapi (ICU), pakar perbidanan dan sakit puan (O&G) serta pakar pediatrik berbincang di hadapan katilnya.

"Tak lama selepas itu, doktor datang kepada saya, katanya 'baik puan, esok kita akan czer puan..sabar ya. So, boleh happy sikit dah kan? Kuat semangat tau..nanti nak jumpa baby' kata doktor itu sambil tersenyum.

"Saya angkat tangan tanda bersyukur. Perkara yangsaya risaukan insya-Allah berakhir esok," katanya.

Rabiatul Adawiah berkata, pada 29 Januari lalu, dia dibawa ke bilik pembedahan (OR) dan ditidurkan sebelum tidak beberapa lama kemudian tersedar apabila terdengar bunyi bayi menangis.

Katanya, doktor memaklumkan kepadanya kelahiran bayi perempuannya seberat 1.78 kilogram.

"Menurut doktor, saiz bayi saya besar untuk tempoh kandungan 30 minggu.

"Air mata syukur saya mengalir. Saya terlalu letih, tertidur kembali. Saya masih melalui proses rawatan Covid-19. Ya Allah...sakitnya hanya Allah yang tahu.

"Tiga kali ganda...sakit Covid-19, sakit rawatan Covid-19 dan sakit bersalin," katanya yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, sumber kekuatannya ialah berharap kepada rahmat Allah SWT untuk memanjangkan umurnya.

"Saya tidak puas lagi berkhidmat untuk ayah ibu. Saya tidak puas lagi mendidik anak saya menjadi hamba-Mu.

"Adakah solat dan puasa saya selama ini diterima, saya tak cukup lagi bersedekah untuk akhirat. Pendek kata saya tak cukup lagi beramal menghadapi barzakh.

"Dengan masa singkat yang ada, saya tak mampu sandarkan semangat saya kepada makhluk," katanya.

Menurutnya, sepanjang 42 hari di hospital, dia dicucuk 150 kali suntikan sebagai sebahagian prosedur rawatannya.

Katanya, peristiwa menghidap Covid-19 yang berlaku kepadanya terlalu pantas dengan 15 Januari lalu mengalami demam dan batuk, 23 Januari pula masuk ICU Covid-19 sebagai pesakit tahap 4 dan pada 24 Januari menjadi pesakit Covid-19 tahap 5.

Kisah 2

Demam selama empat hari, kebah namun disusuli batuk kering selama tiga hari.

Itu dialami Masnah Md Zin, 68, dari Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor yang menceritakan semula detik hitamnya dijangkiti Covid-19.

Ibu tunggal yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi itu disahkan dijangkiti pandemik itu 21 Januari lalu.

"Awal Januari lalu, anak sulung saya pulang ke rumah dari tempat kerja dan mengadu tidak sedap badan serta seram sejuk.

"Selang dua hari selepas itu, saya pula alami perkara yang sama. Pada mulanya demam kuat empat hari.

"Selepas itu demam reda, tetapi disusuli batuk kering selama tiga hari.

"Pada 21 Januari lalu, anak kedua bawa saya ke klinik untuk buat pemeriksaan," katanya yang mempunyai dua anak lelaki berusia 38 dan 28 tahun.

MASNAH.
MASNAH.

Menurutnya, hasil ujian RTK-Antigen, doktor mengesahkan dia positif Covid-19 selain kadar oksigennya didapati berkurangan antara 92 hingga 94 peratus.

Katanya, doktor di klinik itu menghubungi Hospital Sungai Buloh sebelum ambulans tiba dan membawanya ke hospital terbabit pada hari yang sama.

"Setiba di hospital, pada awalnya saya ditempatkan dalam wad pemerhatian (zon kuning) sebelum dipindah ke wad Covid-19 biasa.

"Saya jalani rawatan steroid dan terima bantuan oksigen kadar sederhana tinggi. Ketika ini kandungan oksigen saya kembali stabil.

"Namun pada tengah hari 23 Januari lalu, saya berasa seram sejuk semacam seperti pernah terjadi di rumah," katanya.

Masnah berkata, pada jam 7 malam selepas menerima pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh ekoran kandungan oksigen semakin berkurangan.

Katanya, hari kedua dimasukkan ke wad ICU, kandungan oksigen makin berkurangan menyebabkan jumlah bantuan oksigen diterimanya semakin bertambah.

Anak bongsunya, Ismat Mohd Fauzan Hafiz Hamdan, 28, berkata, dia menerima panggilan daripada doktor menyatakan waktu itu kuman sudah mula menjangkiti paru-paru ibunya dan virus dalam darah kian bertambah.

"Ketika ini doktor cakap jika kandungan oksigen ibu tidak pulih dalam masa 12 hingga 24 jam, ibu terpaksa diberi bantuan pernafasan secara intubasi. Waktu ini doktor mengklasifikasikan tahap jangkitan Covid-19 ibu adalah kritikal pada tahap 5.

"Namun kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanyanya. Pada hari ketiga ibu di wad ICU, kandungan oksigen ibu mula menunjukkan perkembangan positif.

"Jumlah kuman dan virus dalam darah juga mulai menurun. Ibu terus dirawat di ICU selama dua hari lagi selepas itu," katanya.

Fauzan berkata, ibunya dibenarkan keluar dari ICU sebelum kembali ditempatkan di wad 4 selama dua hari hingga 29 Januari lalu.

Katanya, sepanjang dalam wad 4 itu, ibunya masih dberi bantuan oksigen tetapi pada kadar rendah.

Menurutnya, pada 30 Januari lalu, keadaan kesihatan ibunya semakin baik seterusnya membolehkan dipindahkan ke wad 7 (wad pemulihan).

"Di sini ibu sudah tidak terima bantuan oksigen. Akhir sekali pada 1 Februari 2021, doktor sahkan ibu pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan boleh discaj, Alhamdulillah," katanya.

Untuk rekod, keseluruhannya Masnah dirawat di hospital 12 hari bermula 21 Januari hingga discaj 1 Februari lalu dan dalam tempoh itu, lima hari daripadanya dia ditempatkan di ICU.

Masnah berkata, kesan sampingan selepas dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh ialah pergerakannya menjadi sangat perlahan.

"Memang perlukan bantuan kalau nak jalan. Maksudnya jika jalan di rumah, saya perlu dipapah oleh anak atau berpaut pada dinding sambil berjalan.

"Jika keluar rumah jalan jauh, kena pakai kerusi roda sebab kaki sangat lemah. Selain itu, sendi otot sampai sekarang rasa sakit sengal, kena kerap diurut dan sapu minyak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 1:00 PM