Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia sembilan bulan, dilahirkan tanpa kedua belah telinga, masalah tulang belakang dan jangkitan paru-paru.
Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia sembilan bulan, dilahirkan tanpa kedua belah telinga, masalah tulang belakang dan jangkitan paru-paru.
Hazira Ahmad Zaidi


BAYI lelaki berusia setahun empat bulan yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok selain mengalami jangkitan kuman pada paru-paru meninggal dunia jam 8.24 pagi semalam ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah.

Menurut ibunya, Siti Hafsah Che Mah, 41, anak bongsu daripada tiga beradik, Muhammad Ikhsan Abdul Hadi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama lebih sebulan pada 21 Januari lalu selepas mengalami beberapa komplikasi.

Katanya, lebih tiga bulan anaknya itu keluar masuk ICU dan wad HRPZII disebabkan keadaannya yang tidak stabil sebelum doktor membenarkannya pulang pada 23 Mac lalu dalam keadaan perlu bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan.

“Bagaimanapun, pada pagi semalam, saya membawanya ke hospital selepas mendapati bekalan oksigen di dalam badannya semakin berkurangan, namun selepas lebih 20 minit mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia.

“Walaupun berat hati, kami sekeluarga terimanya sebagai qada dan qadar serta reda dengan pemergiannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Siti Hafisah berkata, jenazah anaknya dikebumikan jam 2.30 petang semalam bersebelahan pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Liku, Tanah Merah.

NSTP sebelum ini melaporkan, keluarga bayi lelaki ini pernah merayu sumbangan untuk membiayai kos pembedahan menebuk lubang telinga, turut mengalami jangkitan paru-paru sejak lahir.

Disebabkan keadaan itu, Muhammad Ikhsan tidak boleh mendengar kerana tiada lubang telinga serta tidak boleh bergerak akibat tulang belakang bengkok, sekali gus menyebabkan tumbesarannya terbantut.

Berat badannya hanya dua kilogram selain terpaksa bergantung kepada susu khas yang diberikan melalui tiub.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 5:25 PM