Oleh Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: "Ketika dalam keadaan separa sedar di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, saya hanya mampu berdoa dipanjangkan umur," kata Ketua Pengurus Maahad Tahfiz Ibnu Katsir, Klang, Muhammed NorHezri Baharudin, 35, ketika dihubungi baru-baru ini.

Muhammed NorHezri disahkan positif Covid-19 pada 21 Disember 2020 selepas mengalami sesak nafas yang teruk.

Pada mulanya dia dibawa ke Hospital KPJ Klang sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, sebelum itu dia mengalami demam yang tidak kebah selama beberapa hari sejak 16 Disember dan ujian calitan yang dibuatnya mendapati dia negatif.

"Kemudian pada 20 Disember, saya alami sesak nafas yang teruk sebelum dibawa isteri ke Hospital KPJ Klang dan diberikan bantuan oksigen.

"Ujian calitan di KPJ mengesahkan saya masih negatif, namun apabila ujian RT-PCR dibuat sehari selepas itu, saya disahkan positif.

"Kemudian pada 21 Disember, saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Muhammed NorHezri berkata, pada ketika itu, keadaannya separa sedar dan hanya bergantung pada mesin bantuan pernafasan.

"Imbasan X-ray mendapati keadaan paru-paru saya sangat teruk kerana terdapat jangkitan dan oksigen di dalam darah semakin berkurangan.

"Saya seolah-olah lemas di dalam air apabila tidak dapat bernafas dengan baik selain seluruh badan mengalami kesakitan," katanya.

Menurutnya, pada hari kedua, keadaannya semakin kritikal dan menurut doktor, pada bila-bila masa sahaja dia akan 'ditidurkan'.

"Pada ketika itu saya hanya mampu berdoa kepada Allah supaya dipanjangkan umur kerana masih banyak lagi usaha dakwah perlu dilakukan selain teringatkan isteri dan anak berusia enam bulan.

"Untuk itu, saya sanggup tidak tidur kerana bimbang terus tidak sedarkan diri.

"Saya hanya mampu berdoa dan saya cuba positifkan diri untuk kuat melawan penyakit ini kerana dapat rasakan kematian semakin hampir.

"Apabila melihat ke luar tingkap, saya bercakap dengan pokok dan awan supaya turut mendoakan kesembuhan saya.

"Alhamdulillah, dengan kuasa Allah dan doa orang ramai pada malam hari kedua itu, keadaan saya mula menunjukkan perkembangan positif," katanya.

Muhammed NorHezri berkata, sepanjang berada di ICU, dia bersyukur kerana petugas hospital begitu komited termasuk membantunya untuk solat, menyuapkan makanan dan memberi kata-kata semangat.

"Masuk hari kelima, keadaan saya semakin pulih sebelum ditempatkan ke wad biasa dan dibenarkan pulang empat hari kemudian untuk jalani kuarantin di rumah," katanya.

Menurutnya, pada ketika itu juga, dia dimaklumkan isteri dan anaknya positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di Hospital Kuala Lumpur selama 10 hari.

"Isteri hanya kehilangan deria rasa dan bau manakala anak tidak alami sebarang simptom," katanya.

Muhammed NorHezri berkata, kesan daripada jangkitan Covid-19 itu, dia kini mengalami serangan asma dan masih perlu jalani rawatan pemulihan di Hospital Sungai Buloh.

"Saya tidak boleh buat kerja berat dan makan perlu berpantang kerana mudah terkena serangan asma.

"Melihat berita mengenai Covid-19, saya jadi fobia apabila terkenangkan kembali apabila terpaksa bertarung nyawa di ICU akibat pandemik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 8:00 AM